Sistem Pendidikan

TAJUK : BEBANAN SISTEM PENDIDIKAN DI MALAYSIA

Kederasan arus Globalisasi seiring kemajuan teknologi yang pesat hasil reformasi sistem sosial serta biasan teknologi dunia telah mencetuskan pelbagai evolusi dalam setiap bidang di Malaysia terutamanya dalam sistem pendidikan yang kian bertukar dasarnya agar seiring dengan kehendak dunia masa kini. Pendidikan kini pula digandingkan dengan peluang pekerjaan di mana kurikulum yang dibinanya berdasarkan 'Teori Kurikulum Fungsional' di mana pendidikan adalah untuk mengisi petak pekerjaan untuk masa hadapan. Bagi tujuan begitu, adalah perlu untuk membangunkan tenaga buruh yang mempunyai kelayakan akademik dan teknikal yang tinggi, kepelbagaian kemahiran dan pengetahuan menggunakan ICT serta nilai-nilai dan etika kerja yang positif. Justeru untuk memenuhi keperluan tersebut, pemerkasaan sistem pendidikan telah dirancang agar ketumbukan berkualiti yang mantap akan meningkatkan pengetahuan, kemahiran dan daya cipta supaya sepadan dengan kemajuan teknologi pengeluaran dan perkhidmatan.

Lantaran dasar pendidikan Malaysia yang sering berubah secara drastik secara tidak langsung sebenarnya telah meningkatkan kos atau perbelanjaan yang semakin meningkat disebabkan untuk merealisasikan pelaksanaan kurikulum tersebut. Sebagai contoh pengubahsuaian pembelajaran daripada bahasa melayu kepada bahasa Inggeris sebagai pengantar dimana kos yang dilabur untuk pemerkasaan bahasa Melayu melalui usaha Dewan Bahasa Dan Pustaka tidak sedikit dikeluarkan. Pengubahsuaian yang berlaku juga telah membawa implikasi kenaikan kos pelajaran di malaysia demi menampung kelompangan kos akibat ubahsuai, latihan dan pakej baru untuk setiap perubahan yang terlalu drastik dan tidak konsisten. Kesannya, sama ada sedar atau tidak telah memberi tekanan kepada rakyat Malaysia yang majoritinya terdiri daripada golongan sederhana yang terpaksa menanggung bebanan kesempitan kewangan lantaran kos perbelanjaan pendidikan yang kian meningkat tidak sepadan dengan taraf kehidupan mereka. Namun,secara hipotesisnya persoalan yang timbul dan ingin di ketengahkan oleh penulis bukanlah bidang kursus apa yang perlu dipilih atau tempat pengajian mana yang berkualiti agar dapat menjamin pekerjaan masa hadapan tetapi sejauh mana kualiti pendidikan di Malaysia sepadan dengan pengeluaran kos yang dikeluarkan oleh pelajar untuk pengajiannya.

Pembaharuan demi pembaharuan dalam sistem pendidikan yang dirancang serta dilaksanakan bukanlah menjadi suatu kesalahan mahupun kesilapan namun ianya sepatutnya dilaksanakan seiring purata taraf ekonomi rakyat di Malaysia.Ketinggian kos perbelanjaan yang terpaksa dikeluarkan oleh sekalian rakyat yang tidak berpendapatan tinggi telah membebankan kehidupan mereka walhal tidak sepadan dengan tahap pendidikan yang di ambilnya. Sistem pendidikan yang ada menyebabkan yuran terlalu tinggi dan boleh dikatakan 'ajaib'. Ada yuran pengajian, yuran perpustakaan, yuran kesihatan, yuran sukan, bayaran nota, yuran peperiksaan dan berbagai lagi. Masyarakat yang berpendapatan rendah (akibat diperah habis-habisan oleh sistem kapitalis) terpaksa menyerah diri dan menerima bahawa mereka tidak mampu memberikan pendidikan sempurna kepada anak mereka kerana tingginya perbelanjaan pendidikan pada hari ini. Memang sudah menjadi kelaziman sebuah negara kapitalis akan wujud dua golongan iaitu antara yang berkemampuan mendapatkan pendidikan dan ada yang akan tewas serta tidak mampu mendapatkan pendidikan akibat dari tingginya kos hidup, golongan miskin gagal untuk bersaing di pasaran. Maka, akan terwujudnya golongan yang mundur pendidikannya akibat dari kurikulm pendidikan moden yang dilaksanakan di sekolah-sekolah, institut-institut pengajian tinggi, dan lembaga-lembaga pendidikan yang ada di seluruh negara di dunia.

Rentetan daripada kos perbelajaan untuk belajar tinggi,timbul pula isu biasiswa dan pinjaman kewangan daripada badan-badan tertentu. Bagi menutup segala isu-isu yang timbul, satu langkah telah dilaksanakan dengan memberi pinjaman kewangan kepada pelajar yang tidak mampu untuk meneruskan pengajiannya. Diberi pinjaman yang tinggi, namun hakikatnya adalah untuk membayar bebanan yuran yang bermacam dan akhirnya pinjaman tersebut akan dibayar balik oleh ibu bapa pelajar tersebut ataupun dituntut semasa mereka bekerja kemudian hari. Bukanlah menjadi persoalan, mengapa perlu bayar yuran untuk belajar, tetapi persoalannya, mengapa yuran yang dikenakan terlalu tinggi sehinggakan membebani hidup-hidup insan yang sememangnya dhaif dan susah. Tidaklah menjadi suatu yang wajar sekiranya seorang insan yang ingin mencari ilmu terpaksa melupakan hasratnya hanya kerana tidak mampu unuk membayar atau menanggung yuran persekolahan atau pengajiannya yang begitu tinggi (tidak sesuai dengan pendidikan yang diambil). Sewajarnya biasiswa tidak perlu direbut jika sudah jelas yuran yang rendah dikenakan. Kini pertarungan dan persaingan mendapat biasiswa amat menjadi-jadi sehingga timbulnya budaya ampu-mengampu, rasuah serta lobi-melobi demi mendapat biasiswa yang sebenarnya kembali menjadi milik pengurusan pendidikan.

Ketidak adilan juga berlaku kepada golongan luar bandar yang membayar yuran yang sama dengan golongan di bandar sedangkan kualiti serta insfrastruktur yang diterima tidak sepadan sama sekali. Sebagai contoh, mata pelajaran ICT di perkenalkan di sekolah di Malaysia. Semua pelajar diwajibkan mengambil mata pelajaran tersebut sama ada bersekolah di bandar ataupun di luar bandar. Yuran yang dikenakan setiap tahun juga adalah sama untuk matapelajaran baru ini.Namun,infrastruktur atau kemudahan di sekolah tidak sama. Di luar bandar hanya belajar secara teori memandangkan sebuah komputer pun tidak dibekalkan atau terlalu sedikit komputer yang disediakan untuk digunakan kepada pelajar-pelajar berbanding di bandar yang mana setiap pelajar dibekalkan kemudahan di mana satu komputer seorang pelajar. Jadi, kualiti yang boleh kita bandingkan adalah terlalu ketara di mana sekolah di sini di ajar teori sahaja manakala satu sekolah lagi diajar teori dan dipraktikkan sekali ilmunya.

Persoalan yang timbul ini bukanlah mahu dijadikan `buah mulut’ yang bertujuan untuk diperkatakan tetapi sekadar mahukan kebijaksanaan serta penelitian yang terancang agar keadilan dan kebajikan rakyat di jadikan rujukan utama dalam pelaksanaan sistem pendidikan di Malaysia. Tidak perlu pinjaman kewangan yang tinggi, juga biasiswa yang banyak sekiranya kadar yuran serta kos perbelanjaan pengajian ditetapkan mengikut taraf ekonomi rakyat. Andai keutamaan ilmu pengetahuan untuk rakyat di utamakan, rasanya tiada masalah untuk pelajar mendapat kualiti pendidikan yang tinggi. Contohilah negara-negara yang maju di mana pendidikan untuk rakyat diutamakan sehinggakan membuka sekolah percuma kepada para pelajar yang tidak berkemampuan demi masa depan rakyat mereka.

`Kematapan Pendidikan Kualiti Terjamin’

Nor Hidayah bt Osman

Jurnalis Cahaya-01

0 comments: