Emansipasi,Eksploitasi

EMANSIPASI DAN EKSPLOITASI

Pernahkah anda mendengar mengenai emansipasi kaum wanita? Di Malaysia mungkin perkataan ini agak asing, tetapi kaum wanita Barat amat sinonim dengan perjuangan emansipasi kaum wanita. Emansipasi membawa maksud pembebasan atau kesamaan hak. Pada awalnya, emansipasi wujud seawal kurun ke 17, apabila masyarakat Barat cuba membebaskan diri daripada tekanan pihak gereja. Perubahan arus masyarakat, telah menyebabkan gerakan pembebasan turut merasuki semangat wanita Barat yang menuntut kebebasan dan kesamaan hak dengan kaum lelaki hinggalah wujudnya golongan feminist dalam masyarakat Barat yang telah menjadi sebuah gerakan terancang pada awal abad ke 19. Di Indonesia pula, sejarah emansipasi mula didengungkan oleh masyarakat ketika kuasa kolonial Hindia Belanda mengeksploitasi tenaga masyarakat pribumi untuk mengaut keuntungan.

Kini emansipasi amat sinoniom dengan wanita, sehingga di beberapa buah negara termasuklah Malaysia tertubuhnya kementerian khusus untuk menjaga hak wanita iaitu Kementerian Pembangunan Wanita dan Sosial. Ini merupakan salah satu wadah untuk memperjuangkan kesamarataan hak wanita walaupun tidak terzahir dengan jelas perjuangan emasipasi wanita di Malaysia. Hakikatnya, wanita di Malaysia tidak pernah terpinggir dalam banyak segi di Malaysia, sebagai contohnya dalam peluang melanjutkan pelajaran, memilih pekerjaan dan pembahagian gaji. Oleh itu kita tidak melihat ketumbukan yang kuat dalam pertubuhan-pertubuh an wanita di Malaysia dalam memperjuangkan hak-hak ini.

Cuma beberapa tahun kebelakangan ini, kita pernah terdengar mengenai isu poligami yang menjadi perhatian beberapa pertubuhan wanita Malaysia seperti Majlis Kebangsaan Pertubuhan-Pertubuh an Wanita Malaysia, Sisters In Islam, Persatuan Peguam-Peguam Wanita Muslim dan lain-lain; yang telah menyuarakan dengan lantang kebimbangan mereka terhadap suami yang ingin berpoligami. Isu tersebut menjadi hangat terutama apabila kerajaan Selangor memansuhkan peraturan tandatangan isteri yang sedia ada di dalam borang permohonan jika seseorang suami itu berhasrat untuk berpoligami. Kemudian isu ini dikaitkan pula dengan bermacam-macam insiden seperti pengabaian tanggungjawab suami terhadap isteri pertama, keadilan, nafkah dan lain-lain.

Saya tidak mahu mengulas lanjut mengenai isu tersebut, kerana terpulang kepada kita untuk menilai buruk dan baiknya poligami mengikut persepsi dan keadaan sendiri. Apa yang ingin saya bangkitkan di sini adakah relevan isu ini diperbesarkan kerana isu poligami merupakan isu kontrovesi sepanjang zaman yang tak pernah akan selesai tanpa toleransi dan pemikiran yang rasional. Ada baiknya kita menumpukan pada nasib kaum wanita kita yang dieksploitasi oleh beberapa pihak untuk mengaut keuntungan, sama seperti apa yang pernah penjajah lakukan pada kita suatu masa dahulu.

Faktor ekonomi telah menjadi potensi pemberdayaan wanita. Wanita bekerja mencari nafkah adalah wajar dipandang dari kesetaraan antara manusia tetapi pada masa yang sama wanita juga dianggap bernilai dan berharga tinggi menjadi penghias majalah, iklan dan pemasar. Natijahnya, kaum lelaki puas melihat keindahan, perempuan pun senang dan mengidolakan, wang beredar berputar, ekonomi naik, semua sejahtera. Eksploitasi pun akhirnya dimaafkan, semua benar, atau semua salah, dan statistik kejadian rogol dan bunuh wanita yang menang.

Berbalik pada persoalan emansipasi tadi, saya merasakan ini merupakan satu persoalan rumit yang perlu diteliti oleh pertubuhan-pertubuh an wanita di Malaysia. Sistem telah mengarahkan lelaki dan wanita dalam eksploitasi bertopengkan emansipasi, keduanya tidak hanya objek tetapi juga sebagai pelaku. Kita, baik lelaki atau wanita tanpa kita sedar atau tidak sedang dieksploitasi. Tidakkah anda smua terfikir?

SELAMAT BERFIKIR UNTUK MENCARI KEBENARAN

NORHASRIZA MUSTAFA

Penulis Cahaya-01

0 comments: