Ilmiah

Manusia, Alam dan ISLAM…Suatu Kebergantungan

Mengenal diri sendiri bererti kita mengenal pencipta kita. Ayat ini seringkali kita dengar, akan tetapi adakah kita pernah memikirkannya secara mendalam? Menjadi khalifah di muka bumi, adalah satu tanggungjawab yang begitu berat, yang mana tidak sanggup ditanggung oleh mana-mana makhluk lain melainkan manusia. Siapakah manusia? Apakah khalifah? Dan apa kaitannya dengan muka bumi serta ISLAM? Mari kita lihat maksud istilah satu persatu dan kaitan antara ketiga-tiganya.

Sebelum memulakan perbincangan dengan lebih jauh, apakata kita membuat sedikit persediaan minda, buka minda kita seluas-luasnya, buka minda kita dengan cahaya Yang Maha Pencipta, semoga apa yang akan kita lalui ini merupakan satu perbincangan yang ilmiah dan bermanfaat.

Manusia, adalah berasal daripada perkataan arab nasia memberi makna lupa, lalai. Dan manusia adalah pengamalnya, makhluk yang lupa, yang sering lalai, itulah manusia. Di dalam Al-Quran, telah Allah sebutkan bahawa manusia adalah Allah lantik menjadi khalifah di muka bumi. Khalifah juga adalah berasal daripada perkataan arab khalafa yang wakil, duta. Bererti, manusia adalah wakil Allah dalam konteks mentadbir alam ini.

Alam, apakah alam? Juga berasal daripada perkataan arab ‘alam, memberi maksud seluruh makluk ALLAH yang ada di sekeliling kita sama ada diketahui atau pun tidak. Yang melibatkan benda hidup dan bukan hidup. Dan ISLAM juga berasal daripada kalimah arab yang bermaksud selamat, aman yang mana memberi umat ISLAM satu cara hidup yang selamat dan aman serta mengajak umatnya mengenal Tuhan Yang Maha Esa.

Setelah kita mengetahui makna istilah-istilah di atas, kita dapat berfikir sejenak apakah kaitan semuanya yang menjadikan hidup di dunia ini sangat unik dan lebih bermakna, dan jika diteliti kembali, semuanya ada kaitan yang rapat dengan ISLAM. Manusia sebagai khalifah di muka bumi adalah diamanahkan oleh ALLAH untuk hidup dengan baik dengan semua makhluk-makhluk lain. Dengan memahami keperluan hidup masing-masing, tugas ini akan dapat dilaksanakan dengan baik.

Oleh itu, kaitan manusia dengan alam kini jelas menunjukkan bahawa kita harus bersedia untuk bekerjasama dengan alam sekeliling kita. Namun kini, kita dapati alam sekitar telah banyak didominasi dan dimanipulasi fungsinya oleh manusia yang sering lupa dan lalai akan tanggungjawab sebenar mereka terhadap alam sekitar. Bersikap rakus menebang dan meratakan pokok untuk mengaut keuntungan semata-mata adalah masalah utama yang kita hadapi sekarang. Tapi, rata-rata masyarakat tidak mempedulikannya kerana berfikir bahawa perkara tersebut tidak akan memberi kesan kepada mereka.

Inilah cara berfikir manusia yang leka dalam nikmat dunia. Mereka lupa tsunami yang melanda, mereka leka dengan kesan La Nina, mereka tidak mengambil iktibar daripada JE, mereka mengendahkan sebaran penyakit H5N1 (selsema burung), mereka memandang sebelah mata kepada rubella dan demam denggi, dan pelbagai lagi musibah yang melanda sekarang. Mengapakah perkara ini boleh terjadi? Zaman dahulu jarang kita dengar bencana alam dan penyakit yang pelik lagi aneh, tapi sekarang, ia ibarat angin yang membelai cuping telinga manusia,

Inilah sebenarnya akibat manusia tidak menjalankan amanahnya sebagai khalifah dengan baik dengan mengabaikan tanggungjawab terhadap alam sekitar. Bencana alam dan penyakit-penyakit yang mucul yang dinyatakan di atas ini boleh dijelaskan dengan kaedah saintifik, yang mana ia berpunca daripada manusia itu sendiri. Demikianlah akibat yang diterima apabila manusia itu gagal merubah sikap ‘tak apa’ mereka. Sikap yang akhirnya merosakkan kualiti hidup mereka.

Langsung, ini juga adalah kaitannya dengan ISLAM. seperti yang dinyatakan dalam Al-Quran, alam semesta menyimpan sejuta rahsia ALLAH yang kita sendiri tidak mampu menyingkap kesemuanya kerana terhad ilmu yang dikurniakan ALLAH. Alam sekitar ini juga adalah satu anugerah dan nikmat ALLAH yang tidak ternilai harganya. Berbakti kepada alam sekitar adalah dikira sebagai menjalankan tanggungjawab moral kita sebagai orang yang beragama. ISLAM juga mengajarkan umatnya supaya berbuat baik kepada semua makhluk.

Jika dilihat dari sudut saintifik, apa yang diajarkan dalam ISLAM memang tepat dan ada kaitan dengan ilmu sains. Ini kerana ia datang dari sumber yang sama, ISLAM dan ilmu sains tabii, adalah datang daripada Yang Maha Pencipta, lagi Maha Agung. Perkaitannya memang tidak dapat dinafikan kerana ia adalah salah satu punca yang ALLAH mahu manusia mengkaji dan belajar mengenai alam semesta. Ini juga menunjukkan betapa agungnya agama yang ALLAH turunkan.

Oleh itu, dapat disimpulkan di sini bahawa semua yang ada di muka bumi ini saling berkaitan dan memerlukan antara satu sama lain, saling lengkap melengkapi dan inilah yang menjadikan kehidupan di dunia ini unik dan menarik. Semuanya tidak dapat dipisahkan daripada ISLAM dan akhirnya akan balik semula kepada Penciptanya ALLAH S.W.T.. Demikianlah ALLAH telah mewujudkan kehidupan ini. Bersyukurlah kerana kita diberi peluang menikmatinya….Syukran lillah…Alhamdulillah

Marilah kita sama-sama muhasabah diri sebelum terlambat.

Kritikan dan komen di alu-alukan….

NUR AFIFAH RAMDAN


0 comments: