Model Minda

MELAYU : MODEL MINDA PERLU DIJANA


Dalam era mengenal dunia cyber abad ke – 21 ini, kita harus meletakkan matlamat yang realistik untuk mengangkat martabat Melayu ke tahap cemerlang seiring dengan matlamat negara maju pada tahun 2020. Kita berharap apabila Malaysia berjaya merealisasikan impiannya untuk menjadi negara maju dalam pelbagai dimensi termasuk ekonomi, politik, sosial, kerohanian, psikologi dan kebudayaan pada tahun 2020 nanti, umat Melayu turut mengalami proses transformasi dan reformasi untuk mencapai kecemerlangan dalam semua bidang. Tidak ada manfaatnya andai Malaysia mencapai negara maju sekiranya umat Melayu masih ketinggalan dan tidak menerima faedah daripada kemajuan yang diidamkan tersebut.

Menjadi suatu adat, apabila setiap bangsa yang berjaya di dunia ini akan menjadi tumpuan seluruh dunia lantas menjadi aset untuk dikaji tentang apakah faktor di sebalik tabir atas kejayaan mereka sebenarnya? Memang banyak faktor yang menjadi sebab dan asas kepada kejayaan mereka tetapi yang terpenting dan yang menjadi akar umbi kepada segala faktor yang sedia ada ialah minda sesuatu bangsa tersebut. Dengan keupayaan bangsa Melayu menempa kejayaan setakat ini, adalah wajar kita memahami dan membentuk minda kita sendiri bagi memastikan agar kejayaan tersebut berterusan dan menjad ikutan setiap bangsa Melayu yang ingin berjaya. Dalam konteks yang ingin dibincangkan mengenai minda ini ialah minda ‘Melayu Muslim’ kerana Melayu yang ingin kita tonjolkan sebagai penggerak pembinaan negara dan tamadun kita ialah Melayu yang jelas dengan tasawurnya, jelas dengan nilai pegangan serta prinsip hidupnya iaitu Islam.

Bukanlah agama Islam yang ingin ditonjolkan dalam penulisan kali ini, tetapi sudah menjadi seperti isi dan kuku, Melayu pasti dikaitkan dengan Islam. Bezanya kita (bangsa Melayu) berbanding dengan sebahagian masyarakat Islam yang lain ialah mereka lebih mementingkan label dan laungan Islam, tetapi kita lebih mementingkan pencernaan, penterjemahan dan natijah Islam dalam bentuk yang pragmatis dan berkekalan. Kita percaya Islam itu kaya dengan ilmu dan Islam juga memberi ruang yang luas dan pelbagai opsyen dalam menghadapi cabaran kontemporari dalam tuntutan kehidupan, tanpa mengambil kira zaman atau tempat. Islam adalah suatu cara hidup yang mengizinkan pelbagai pendekatan bertepatan dengan batasan yang ditetapkan. Ia seharusnya digali, digubal dan diinovasikan dalam ruang bertindak yang sangat luas. Dalam Islam yang diharuskan itu lebih banyak berbanding yang ditegah.Sama ada kita menerokai disiplin ekonomi, politik, sosial, sains dan teknologi, pendidikan, riadah dan sebagainya, kita akan sentiasa menjumpai opsyen Islam yang pelbagai pendekatan. Persoalannya, mengapa dengan kelonggaran yang disediakan, kadangkala kita mesih terbawa-bawa dengan perspektif yang sempit. Kita masih izinkan diri serta pemikiran kita dijajah dengan perspektif yang bertentangan dengan nilai agama dan budaya kita. Kita masih berasakan pergerakan kita terkongkong, masih merasakan kita tidak boleh melepaskan diri daripada belenggu pemikir asing dan sebagainya. Hal sedemikian berkemungkinan kerana kita tidak sedar akan potensi dan bakat yang ada pada diri kita. Mungkin juga di antara kita yang tidak mahu mendedahkan diri kita kepada perkara-perkara yang baru, kerana setiap yang baru itu ditanggapi mencabar status-quo atau kedudukan umat Melayu.Mungkin ada juga yang terlalu merendahkan diri sehingga sikap rendah diri melahirkan perasaan terlalu kagum dengan pencapaian dan kelebihan orang lain lantas menjadikan masyarakat kita mengagumi bangsa lain dan membawa sindrom pasif kepada umat Melayu sehingga zaman kini. Atau mungkin juga keadaan persekitaran kira yang kurang mendukung usaha kita ke arah pembentukan insan yang berdaya tahan baik dari segi mental, intelektual mahupun spiritual.

Minda yang terjana adalah berkait rapat dengan sikap yang telah lama tersemai dalam diri seseorang individu.Terjananya minda yang negatif lahir daripada sikap yang sudah menjadi tabiat yang kurang elok dan juga buruk. Kelemahan umat Melayu sehinggakan berjaya dijajah adalah hasil daripada sikap yang negatif maka hasil daripada sikap tersebut maka mindanya juga berjaya dijajah. Sebagai contoh, pemimpin Melayu pada zaman penjajahan Portugis, Belanda dan Inggeris tidak bersatu, saling bergaduhan lantas timbullah bibit-bibit permusuhan dan akhirnya penjajah menggunakan taktik pecah-perintah. Maka berlakulah pemisahan kuasa antara pembesar menyebabkan pembesar tidak lagi bersatu untuk mentadbir tanah air sendiri. Agenda inilah yang menyebabkan negara kita berjaya dijajah beratus tahun lamanya. Hal sedemikian tercetus disebabkan sikap iri hati dan dengki antara satu sama lain atas kelebihan orang lain sehingga bagai merelakan bangsa lain maju, jangan bangsa sendiri. Sikap sebegini sedar atau tidak sebenarnya telah menjadi suatu adat yang berjaya diwarisi sehingga kini sekalipun zaman telah berganti dan negara tidak lagi dijajah. Pewarisan sikap negatif ini telah mengakibatkan bangsa Melayu kini sukar untuk berjaya apatah lagi untuk merealisasikan impian untuk mencapai Wawasan 2020. Maksud tersirat yang ingin disampaikan bukanlah untuk melemahkan atau menghina bangsa mulia ini tetapi haruslah menjadi suatu kesedaran bahawa umat Melayu kini agar segera menghapuskan sikap sebegini agar ianya bukanlah menjadi tembok besar untuk mencapai segala visi dan misi yang telah digarapkan.

Menjadi suatu penyakit juga dalam badan kebanyakkan umat Melayu sehinggakan boleh dikatakan hampir gagal untuk mencari imunisasi akan penyakit ini. Kebanyakkan bangsa Melayu enggan mempelajari kemajuan-kemajuan teknologi asing . Mereka leka dan berpuas hati dengan apa yang ada. Maka, akhirnya penjajah dengan mudahnya mengalahkan orang Melayu terutamanya dari sudut ekonomi dan pembangunan negara. Bukanlah hendak dikatakan bangsa Melayu kini mundur tetapi setelah mendapat satu sentakan yang hebat barulah segera bangkit daripada terlena panjang, bak kata pepatah ‘Sudah terhantuk, baru tengadah’. Namun begitu, harus sedarlah bahawa kebangkitan itu sebenarnya agak terlewat kerana kita kini bukanlah menjadi bangsa yang teratas dalam segala-galanya sekalipun di tanah air sendiri. Walau bagaimanapun, bukanlah menjadi suatu kesalahan apabila kita kembali bangkit menebus segala kejahilan yang pernah melanda umat Melayu silam lantas bangun untuk merealisasikan 1001 harapan yang di canang-canangkan.

Namun begitu, di sebalik sikap yang terlalu tertutup, terdapat juga segelintir bangsa Melayu yang terlalu mengagung-agungkan bangsa asing ataupun pihak penjajah terutamanya negara Barat sehingga melahirkan minda yang sentiasa mengiktiraf segala yang datang dari Barat semuanya berkualiti dan moden. Mindanya juga berjaya dijajah oleh fahaman kolonial termasuk dari segi pendidikan, keusahawanan dan sebagainya. Produk Melayu begini yang tidak pernah memberi sokongan serta semangat kepada bangsanya sendiri sehinggakan sanggup mengatakan bahawa bangsanya adalah mundur, tidak berkualiti dan terlalu konservatif.

Daripada kecelaruan yang berlaku ini, kita seharusnya bertanya, apakah kesilapan kita? Bagaimana kita harus perbaiki keadaan dan siapa yang harus berperanan? Apakah bentuk penyelesaian yang ingin kita utarakan? Apakah pelan tindakan yang harus kita sediakan? Apakah aspek-aspek yang boleh kita menfaatkan daripada khazanah ilmu yang sedia ada, baik daripada sumber Islam mahupun daripada sumber bukan Islam? Sekerap mana kita harus lakukan pemantauan dan penilaian semula pada pelan tindakan kita? Soalan-soalan tersebut dan banyak lagi tidak mungkin dapat dicari semalaman atau hanya dengan beberapa perjumpaan dalam seminar yang dianjurkan oleh pelbagai pihak. Apa yang jelas, kita perlu memulakan usaha perintis untuk menggabungkan tenaga pemikir Melayu daripada pelbagai sektor untuk duduk di bawah satu bumbung dan berbincang secara fokus mengenai satu aspek potensi umat Melayu, iaitu mindanya.

Dalam menempuh abad ke-21, kita harus sedar bahawa kita bertanggungjawab memperbetulkan tanggapan dunia mengenai minda Melayu. Kita harus mengheboh-hebohkan segala kejayaan dan sifat-sifat positif minda Melayu, ketekunan kerja orang, Melayu, semangat kerja berpasukan orang Melayu dan sebagainya.Minda Melayu yang harus kita cerna dan bentuk untuk abad akan datang ialah minda Melayu yang inquisitive, minda yang analatikal dan mempunyai kesedaran dalam subconscious mind bahawa umat Melayu, khasnya Melayu Muslim, boleh menjadi bangsa yang hebat, disegani, diteladani dan sebagainya.


Noor Hidayah binti Osman

Universiti Pendidikan Sultan Idris

0 comments: