Matlamat khusus Harakah Islamiyah
Matlamat diperlukan dalam satu-satu gerakan untuk menjadikan gerak kerja yang dilaksanakan menjadi mantap dan bergerak seiring matlamat yang dibuat. Apabila matlamat menjadi fokus utama dalam sesuatu kerja, ia akan membuahkan satu hasil yang baik dan cemerlang. Dalam Harakah Islamiyah, matlamat dicapai seiring dengan Al-Quran dan As-Sunnah. Sebagai ahli harakah, kita perlulah memainkan peranan dan bersedia untuk memenuhi matlamat yang dituntut oleh jemaah.
Imam Hasan al-Banna telah mengariskan lima matlamat dalam Ikhwanul Muslimin iaitu:
1. Membentuk peribadi muslim
- Peribadi mulia mengambarkan keimanan seseorang individu. Individu muslim perlu mempunyai akidah yang lengkap, berilmu dan akhlak yang terpuji. Individu ini juga perlu menjaga ibadatnya seharian, kesihatan diri dan pandai menguruskan masa. Selain itu, individu itu juga perlu mempunyai kesedaran untuk melakukan amal makruf nahi mungkar.
- Individu yang dididik dengan tarbiyah perlu ada kesedaran untuk mengembalikan hukum-hukum dan syariat Islam dalam masyarakat, berusaha untuk menjadi seorang dai’e dalam masyarakat dan sentiasa mendekati diri kepada Allah s.w.t.
2. Membentuk keluarga muslim
- Rumahtangga muslim adalah keluarga yang melaksanakan prinsip-prinsip Islam dalam pergaulan seharian. Setiap ahli keluarga mengetahui tanggungjawab dan peranan masing-masing dalam keluarga.
- Ayah sebagai ketua keluarga hendaklah melaksanakan hukum-hukum yang telah digariskan dalam Al-Quran dan As-Sunnah dalam menguruskan hal keluarganya. Sebagai ibu pula, menjadi qudwah yang baik kepada anak-anak perempuannya dalam membentuk muslimah solehah.
3. Membentuk masyarakat muslim
- Masyarakat yang ingin dibentuk adalah masyarakat yang melaksanakan syariat dan hukum-hukum Islam dalam kehidupan seharian. Masyarakat muslim juga mempunyai kesedaran tentang amar makruf dan nahi mungkar. Selain itu, masyarakat yang dibentuk adalah masyarakat yang hidup aman dan damai, saling menghormati, bersatu padu dan sentiasa tolong menolong.
- Masyarakat muslim sentiasa berpegang kepada Al-Quran dan As-Sunnah. Mereka juga sentiasa takut kepada Allah dan mencintai Rasul-Nya.
4. Membentuk daulah Islamiyah.
- Negara Islamiyah adalah negara yang mempunyai rakyat yang melaksanakan tuntutan agama dan tidak melakukan perkara yang dilarang oleh Allah s.w.t. Negara Islamiyah juga mempunyai perlembagaan dan undang-undang Islam serta mempunyai tentera yang berjuang di jalan Allah serta membela nasib umat Islam di negara yang ditindas oleh orang kafir.
- Daulah Islamiyah akan tegak atas dasar Islam yang diketuai oleh seorag khilafah dan bebas dari cengkaman kuasa-kuasa asing. Daulah Islamiyah ini akan menaungi semua negara Islam yang lain serta menyatukan umat Islam di bawah satu panji Islam. Matlamat ini juga adalah untuk mengembalikan semula kegemilangan Islam di muka bumi ini.
5. Membentuk khilafah Islamiyah
- Imam Hasan Al-Banna menerangkan ciri-ciri khilafah Islamiyah ialah mempunyai rasa bertanggungjawab dan kasih kepada rakyatnya, berlaku adil sesama manusia, tidak menyalahgunakan harta umum dan berjimat serta menggunakan harta umum ke jalan yang betul. Di antara tanggungjawab yang perlu dilaksanakan ialah menjaga keamanan, melaksanakan undang-undang Islam, mengembangkan ilmu pengetahuan, memelihara maslahat umum, membangunkan hasil dan kekayaan negara dan menyebarkan dakwah di seluruh pelusuk negara.
Oleh itu sebagai ahli harakah, kita perlu tahu dan faham matlamat Harakah Islamiyah yang dibawa oleh Imam Hasan Al-Banna ini. Inilah matlamat khusus dalam Harakah Islamiyah bagi menegakkan semula syiar Islam di muka bumi ini.
Nurul Najihah Mohd Yusof
Labels: Konsep Haraki
0 comments:
Post a Comment