KEHARMONIAN BERAGAMA DI
Tiap-tiap agama percaya kepada tuhan , percaya kepada dunia akan datang dan semua agama menggalakkan umatnya membuat kebaikan . Tidak ada agama yang menerima pembunuhan , penyiksaan atau lain -lain kegiatan pemusnahan. Sesiapa sahaja yang menerima kepercayaan kepada tuhan , membuat kebaikan , percaya kepada agama yang diyakini benar tidak kira Islam , Kristian , Buddha atau Hindu ,akan terdapat ganjaran dari tuhan.
Oleh itu , dalam satu komuniti manusia akan wujudnya agama -agama yang berlainan. Tetapi ini tidak menjadi satu masalah dalam mewujudkan keharmonian , tidak kira keharmonian dari segi agama mahupun kaum. Pada pandangan Islam, manusia dianggap sebagai satu , setiap orang menyembah tuhan dan sewajarnya membuat kebaikan serta menerima akibat dari perbuatannya dalam dunia akan datang. Adakah pandangan ini berlainan dengan agama-agama yang lain ?. Mengapa masih terdapat begitu banyak perselisihan dan pergolakan dalam masyarakat manusia global ?
Jika dilihat dalam skop yang lebih kecil , iaitu dalam negara Malaysia ini sendiri, penulis merasakan Islam adalah sempurna untuk diamalkan di sebuah negara yang berbilang kaum dan agama. Ini kerana Islam menerima agama yang lain dan memberi hak yang sama kepada orang muslim dan non muslim. Tetapi apa yang berlaku sekarang adalah jauh terpesong dari landasan kebersamaan . Islam yang diamalkan oleh sebahagian umat islam di Malaysia adalah Islam yang berfikiran sempit dan yang lebih teruk lagi apabila cauvinisme telah menjadi sebahagian daripada kepercayaan mereka. Islam di Malaysia dipandang dalam peraspektif komunal. Mungkin ini tidak dapat dielak memandangkan tanggapan masyarakat bahawa semua melayu adalah muslim dan Islam dipandang sebagai agama Melayu. Definisi 'melayu' di dalam Perlembagaan Malaysia sendiri mempunyai pertalian yang begitu rapat dengan Islam. Bagaimana ingin mengambil kepercayaan non muslim jika penekanan yang dibuat bukan pada agama tetapi hanya pada kaum.
Dalam suasana masyarakat sekarang , dimana kesedaran etnik semakin meningkat. orang -orang bukan melayu yang minoriti akan mengembangkan kesedaran yang jelas tentang latar belakang etnik mereka. Ini sedikit sebanyak telah menghasilkan jurang yang semakin besar antara orang- orang muslim dan non muslim. Orang -orang muslim yang mungkin memandang agama mereka 'lebih unggul' dari yang lain akan mungkin bertindak merungkai nilai dan pertalian umum yang wujud antara islam dengan agama lain. Keharmonian beragama telah menjadi satu kata -kata dongengan yang tidak bererti. Adakah kita sanggup menjadi seperti burung kasawari yang membenamkan kepalanya ke dasar pasir, dengan harapan masalah ini akan hialng. Alangkah bagusnya jika terdapat lebih banyak individu yang mempunyai kesedaran untuk mengadakan perbincangan atau forum ataupun kursus bagi menyedarkan betapa pentingnya keharmonian dalam beragama. Akan tetapi Islam tetap berprinsip dan prinsip tidak boleh disentuh dalam mana-mana forum sekalipun. Inilah pendapat peribadi saya. Adalah asas dalam satu negara yang berbilang agama, supaya setiap orang memahami nilai -nilai dan falsafah beberapa agama yang diamalkan di negara ini. Pemahaman agama lain akan menyebabkan kita mengetahui adab, norma kehidupan dan budaya etnik lain sekaligus menyebabkan keharmonian wujud.
Bagi umat islam di Malaysia terutamanya, adalah perlu bagi kita memahami islam yang benar dan progresif agar dapat mewujudkan sebuah negara yang harmoni. Untuk memahami islam yang progresif, idealisma yang progressif serta sahih berteraskan normatif Al Quran dan Hadis mestilah ditanam dalam setiap individu bagi mengelakkan bersarangnya fikiran konservatif. Bagi umat islam, mereka seharusnya mengutanmakan ad-din agama lebih daripada cara dan upacara. Percaya bahawa hakikat perubahan dan pertukaran yang sentiasa berlaku adalah sah dengan nilai yang menjadi teras agama. Tidak berfikiran sekular dan menerima ijhtihad atau penyiasatan bebas yang tidak berdasarkan nilai Quran dan Sunah serta memahami peranan akal diberi penekanan dalam soal agama. Selain itu, umat islam juga seharusnya boleh menerima idea dan konsep dari luar Islam asalkan ia selaras dengan nilai asas Quran (Rujuk Fiqh Daulah Prof. Dr. Yusuf Qaradhawi). Sebagai contoh, unsur yang sihat dari sudut fizikal dan sosial 'barat' boleh diterima dan adalah penting untuk pembangunan islam boleh diambil. Umat islam yang progresif akan menggangap perubahan struktur sebagai usaha yang sama penting dengan pendidikan moral yang bertujuan mewujudkan insan yang baik ( madinatul Fadilla ). Dalam mewujudkan insan yang baik, tidak seharusnya membeza - bezakan mengikut jantina , kaum, bangsa, atau agama.
Untuk memastikan pemikiran progresif benar -benar berakar umbi dalam tradisi pemikiran Islam, umat islam mestilah mengamalkan konsep perpaduan manusia bukan berdasarkan kaum , keturunan , ataupun agama. Piagam Madinah yang dirangka Rasulullah, contoh dari pemerintahan Saidina Umar dan Ali serta tulisan tokoh -tokoh islam sepanjang sejarah, semua membawa kepada kesimpulan yang sama iaitu Islam percaya kepada perpaduan manusia. Sebelum mengakhiri tulisan ini, ingin saya tegaskan betapa pentingnya sikap progresif , rasional , toleransi dan sikap yang tidak dogmatik dan tidak cauvinis dikalangan generasi baru jika mereka ingin memimpin rakyat ke arah keharmonian dan perpaduan dalan negara yang berbilang kaum dan agama. Tulisan ini adalah mencerminkan minda saya selaku penganut Islam.
Alifah Ahmad
Jurnalis Cahaya-01
Labels: Isu Semasa
0 comments:
Post a Comment