PERANAN HARAKAH ISLAMIYYAH
Secara umumnya kita memahami harakah islamiyyah sebagai satu gerakan tajdid yang membawa gelombang Islam ke dalam masyarakat. Tetapi mungkin kita lagi masih kabur untuk memahami dengan sejelas-jelasnya akan peranan harakah islamiyyah kepada dunia Islam seluruhnya pada masa kini.
Harakah Islamiyyah menurut Fathi Yakan adalah berperanan membawa manusia kembali mengabdikan diri kepada Allah sama ada secara individu ataupun secara berjemaah, supaya masyarakat seluruhnya akan kembali meletakkan al-Quran dan as-sunnah sebagai sumber rujukan dalam segenap lapangan kehidupan. Ajakan kepada pengabdian kepada Allah secara mutlak ke dalam masyarakat ini menuntut satu gerak kerja yang teratur, berstruktur dan berstrategi untuk menjayakannya.
Harakah Islamiyyah adalah satu tanzim ‘alami yang menggabungkan petugas dakwah dari seluruh dunia untuk mencapai matlamat yang satu, yang dapat dicapai dengan menggunakan uslub penyampaian dakwah Islam yang suci dan murni. Kita melihat pada hari ini serangan terhadap Islam dilancarkan dari segenap segi, terarah kepada setiap generasi umat Islam kini. Keperluan harakah islamiyyah adalah untuk menggabungkan petugas dakwah ini bersesuaian dengan keadaan semasa yang memerlukan mereka berintima’ dengan jemaah, mentanzimkan mereka dan meyakinkan mereka akan keperluan berintima’. Seterusnya, harakah Islamiyyah perlu men‘centralizaed’kan segala perancangan agar peranan harakah menjadi jelas dan gerak kerja dapat dilakukan dengan sempurna.
Serangan yang dilancarkan kepada umat Islam tidak sahaja datang daripada penjajahan pemikiran ciptaan golongan kuffar tetapi juga apabila umat Islam terperangkap dalam permasalahan bid’ah dan khurafat yang begitu berleluasa pada hari ini. Harakah Islamiyyah berperanan untuk mengembalikan keyakinan masyarakat kepada aqidah yang sebenarnya, dalam erti kata lain membanteras segala bentuk penyelewengan yang telah dilakukan terhadap islam dan hukumnya sejak dulu hinga sekarang.. Dengan itu juga bermakna, hukum-hukum Islam yang bersifat sempurna dan menyeluruh diyakini akan dapat membantu untuk mencapai matlamat ini seterusnya membantu masyarakat dalam setiap urusan kehidupan.
Menyorot pada sejarah manusia terdahulu, kaedah asas kepada tertegaknya Islam dalam masyarakat adalah kaedah “Lailaha illallah” (Tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah). Harakah islamiyyah meyakini bahawa kaedah ini adalah kaedah yang meletakkan tauhid uluhiyyah (ketundukan dan kepatuhan) dan tauhid hakimiyah (kehakiman dan perundangan) hanya kepada Allah azza wa jalla. Daripada ini, harakah Islamiyyah juga meyakini Islam adalah kekuatan asasi yang akan mengembalikan manusia pada landasan kehidupan yang sebenarnya, yang membawa kekuatan, kemajuan dan kejayaan, menewaskan propaganda taghut serta menyinari alam semesta ini hanya dengan kalimah Allah semata-mata.
Jika dipandang dari sudut yang berbeza, pengembalian manusia pada jalan fitrah juga bermakna harakah islam menolak segala bentuk ideologi dangkal ciptaan manusia. Ketundukan kepada ideologi mungkar merupakan satu bentuk pengingkaran kepada keesaan Allah Ta’ala, kekufuran terhadap Islam yang agung dan menjadi perbuatan yang bodoh kerana membiarkan diri sendiri kehilangan arah sedangkan petunjuk Allah ada didepan mata.
As-syahid Imam Hasan al-Banna dalam menyimpulkan perkara ini menyatakan bahawa peranan-peranan harakah Islamiyyah adalah bersandarkan kepada keyakinan-keyakinan yang telah disebutkan sebelum ini. Kesemua peranan perlu dilaksanakan secara berterusan dan tidak terhad kepada tempat atau golongan tertentu sahaja supaya cahaya Islam itu sahajalah yang akan menerangi kehidupan manusia. Maka tidak akan ada lagi bentuk penyelewengan terhadap Islam dan agama itu menjadi semata-mata hanya untuk Allah.
Siti Norhani Hidayah Ismail
Labels: Konsep Haraki
0 comments:
Post a Comment