KEWAJIPAN BERAMAL UNTUK ISLAM
Setelah kejatuhan khilafah Islamiah pada 1924, telah menjadi kewajipan kepada semua umat Islam untuk mengembalikan khilafah Islamiyyah agar semua syariat Allah dapat dilaksanakan dengan cara yang sepatutnya. Sistem khalifah ini berperanan untuk mengetuai segala tindak tanduk umat Islam seluruhnya. Oleh kerana itu, beramal untuk Islam perlu dilaksanakan dan menjadi wajib atas setiap kaum muslimin. Kewajipan ini adalah bersifat taklik kepada semua umat Islam dan bukan bersifat sukarela.
Kewajipan ini dikatakan bersifat taklik atas setiap muslim kerana beramal untuk Islam adalah matlamat asasi bagi semua taklifan yang telah Allah tetapkan kepada kaum muslimin. Dahulunya kewajipan ini diserahkan kepada para anbia' dan para rasul. Seterusnya kepada para sahabat Rasulullah s.a.w dan hingga kini apabila khilafah telah jatuh, kewajipan ini jatuh atas setiap pundak kaum muslimin. Susunan ini perlu difahami supaya tidak timbul kenyataan bahawa kewajipan untuk beramal terletak pada satu golongan sahaja dan golongan yang lain terlepas dari tanggungjawab ini.
Dari sudut hukum pula, beramal untuk Islam menjadi wajib selagi belum wujud masyarakat Islam dan hukum Allah tidak dilaksanakan. Ini didasari dengan kaedah syarak yang menyatakan bahawa "Apabila kesempurnaan sesuatu yang wajib itu terhenti kepada wujudnya suatu perkara lain, maka perkara tersebut adalah wajib". Kita melihat dengan jelas pada hari ini masyarakat Islam tidak dapat diwujudkan dengan sempurna kerana kerajaan yang memerintah umat Islam telah menggunakan system-sistem ciptaan manusia. Oleh itu, tuntutan mewajibkan umat Islam melaksanakan amal Islami jelas semata-mata untuk mengembalikan pemerintahan jahiliah kini kepada pemerintahan yang dituntut oleh syarak seterusnya dapat melaksana dan mengamalkan hukum-hukum Allah.
Jika dilihat daripada sudut maqasid syar'iyyah, beramal untuk Islam menjadi sesuatu perkara dharuri kerana umat Islam perlu mempertahankan Islam daripada ancaman cabaran dan serangan pemikiran (ghazwul fikri) yang dimainkan pihak musuh Islam. Dalam hal ini, perlu wujud tentangan daripada kaum muslimin kerana tegaknya penentangan Islamiah ini adalah taklif syar'ie yang tidak boleh dipandang ringan. Penentangan ini menunjukkan bahawa umat Islam tidak akan tunduk kepada sebarang system jahiliah, sekaligus mengembalikan keizzahan Islam yang kini berada dalam krisis dalam semua aspek meliputi aspek politik, ekonomi, social, akhlak, aqidah dan aliran pemikiran. Sesuai dengan firman Allah dalam surah al-Anfal, ayat 39 :
"Dan perangilah mereka supaya jangan ada fitnah dan supaya agama itu semata-mata bagi Allah."
Untuk memahami dengan lebih jelas lagi, taklifan syar'ie untuk bekerja dan beramal untuk Islam ini adalah wajib secara individu dan jemaah. Wajib secara fardi (individu) bermaksud bahawa semua manusia itu bertanggungjawab untuk berkorban dan memberikan sesuatu yang bermanfaat kepada Islam. Manakala wajib secara jemaah adalah satu implikasi daripada wajib secara fardi. Ini kerana, beramal untuk Islam memerlukan kewujudan jemaah yang didokongi sesama umat Islam sebagai satu gerakan supaya perlaksanaan amal Islami menjadi lebih berkesan dan komprehensif. Perlaksanaan secara individu sahaja amat berat kerana memerlukan pengorbanan dari segala segi, baik harta, jiwa, masa dan tenaga. Dalam sirah, Rasulullah s.a.w juga menghadapi ancaman jahiliah secara berjemaah iaitu dengan para sahabat. Hal ini menunjukkkan, beramal untuk Islam memerlukan satu organisasi (tanzim haraki) supaya memenuhi segala sudut kualiti dan kuantiti yang dikehendaki untuk menegakkan Islam.
Satu perkara yang perlu difahami semasa beramal untuk Islam ialah jihad yang dilakukan adalah untuk diri sendiri. Hakikatnya, Islam tidak memerlukan sesiapa atau apa-apa, tetapi kita yang memerlukan Islam. Berjihad dan berjuang bererti mereka bertindak memebersihkan diri dan jiwa mereka disamping menunaikan sebahagian hak-hak Allah terhadap diri mereka. Haruslah diingat, bahawa nilai dan kemuliaan yang ada pada setiap manusia itu hanyalah apabila mereka menggabungkan diri mereka kedalam Islam dan menunaikan semua tanggungjawabnya terhadap Islam.
Sebagai kesimpulannya, beramal untuk Islam itu adalah wajib secara taklik keatas semua individu muslim. Adalah menjadi satu dosa disisi syariat sekiranya terdapat kecuaian dalam beramal atau kecuaian kerana berdiam diri dari beramal. Bersama-samalah kita berfikir dan mengambil tindakan yang sewajarnya untuk bermula dan terus bekerja untuk Islam.
Siti Norhani Hidayah Ismail
Labels: Konsep Haraki
0 comments:
Post a Comment