Mauizhoh Buat Tunas Baru Harakah Islamiyyah
Saya menulis risalah yang ini dalam jangkahayat saya selama hampir 8 tahun mengenali apa itu jamaah dan harakah Islamiyyah. Melihat pelbagai tribulasi, diuji iman dan kekuatan semangat, diuji minda dan kadangkala gagal mengawal keadaan, melihat keguguran rakan-rakan saya dalam lapangan ini serta melihat juga perubahan mendadak individu tertentu daripada hanya insan yang biasa menjadi seseorang yang amat berkarisma serta berbakat.
Pada peringkat permulaannya, saya amat ketagihkan ilmu dan pengajaran apabila minda dan hati mula diketuk untuk memahami gerakan Islam secara lebih mendalam, lebih adil serta terbuka. Saya mula mengiltizamkan diri mencari sebanyak mungkin keilmuan agama. Semangat 11 September 2001, Peristiwa Wan Nor Hayati UTM serta peristiwa penyerangan Amerika terhadap Taliban amat memberi kesan pada jiwa saya pada waktu itu. Saya masih berbekalkan semangat kekuatan gerakan Islam 1999 dan membawanya hingga kini.
Dalam suasana dahulu, apabila sahaja PKPIM ditubuhkan, usaha murni mereka adalah menyalin serta mencetak sebanyak mungkin tulisan dan buku-buku kecil karangan Imam As Syahid Hassan AL Banna, Abu A'la Al Maududi, Syed Qutb dan Muhammad Qutb sebagai sumber evolusi minda. Kampus UM bergegar pada era 60-70an dengan suatu suara Islam yang progressif. Walaupun Kaum Muda (salafi) telah menggegarkan Malaya dengan aliran Islam yang mudah dan terbuka pada era tahun 30an dahulu, namun ketumbukan ini lebih banyak membawa dilemma dan kontroversi berbanding daripada impak yang dibawa oleh gerakan mahasiswa Islam sendiri. Pada era pasca Revolusi Iran, mahasiswa hampir kesemuanya mula memahami aurat, tidak janggal bersolat semasa kuliah kerana sosial telah diubah melalui dakwah yang progressif. Pada era ini front-front gerakan mahasiswa Islam mula bercambah. Namun hal ini tidak langsung membawa apa-apa masalah kerana memahami bahawa perjuangan mereka adalah sama dan mereka menganggap PAS adalah ideologi untuk mereka bawa apabila tamat belajar samaada di dalam atau luar negara.
Pergolakan mula berlaku apabila Anwar Ibrahim mula memasuki UMNO dan perubahan sikap jelas kelihatan kepada beberapa jamaah utama Malaysia. Jamaah yang asalnya mempunyai satu tujuan dan satu jalan yang sama mula menukar kepada konsep satu tujuan dan pelbagai jalan. Adakah ini suatu perpecahan. Saya melihat ini adalah tanda dan titik tolak kearah kematangan dan bukannya perpecahan. Setiap organisasi dan pergerakan akan berinteraksi dengan perancangan musuh, persekitaran, teknologi dan ijtihad semasa ulama'. Hal inilah yang membawa halatuju jamaah kepada beberapa sikap yang mungkin agak bertentangan.
Anwar Ibrahim sememangnya manusia yang luar biasa. Pada tahun 1998, apabila beliau dipecat daripada kesemua jawatan parti dan kerajaan, beliau berjaya membawa dampak kesatuan fikrah yang unggul sehingga berjaya juga membawa masuk golongan sosialis dan golongan demokratik tulen ke dalam tahalluf politik tanahair. Ini satu tanda baru kematangan organisasi di Malaysia dalam menghalakan meriam mereka kepada sasaran yang satu.
Adab dengan pelbagai jamaah
Sejak kecil saya diasuh oleh bapa saya agar menghormati kesemua jamaah Islam. Bahan bacaan, literasi, kaset ceramah dan pengaruh pelbagai jamah ada dalam keluarga kami. Saya langsung tidak terfikir untuk membanding-bandingkannya sehinggalah saya mengenali PAS pada tahun 1995 dan mula mengikuti perkembangannya secara serius. Saya masih ingat lagi, pernah berlaku satu pertembungan antara saya dan rakan-rakan dengan golongan Jamaah Tabligh ketika menuntut ilmu di sebuah institusi pendidikan, kerana konsep keimanannya agak bercanggah dengan konsep keilmuan yang kami (gerakan Islam) bawa. Namun saya cepat bingkas daripada lena kepalsuan itu serta mula mengatur minda agar berlapang dada dengan golongan mulia tersebut.
Krisis berlaku dalam paradigma tunas Islam kini apabila wacana-wacana inter-jamaah mula dilakukan dikalangan intelektual Islam. Lebih malang apabila wacana-wacana ini dilakukan oleh golongan intelek yang langsung tidak berasal daripada madrasah jamaah Islam. Kata-kata mereka yang disulami dengan ayat-ayat Quran, kajian hadis yang ditahqiqkan kelihatannya indah dan menawan. Terlalu ramai penggerak Islam muda yang terjebak dengan fikrah ini. Mereka mula mempersoalkan mengapa perlunya jamaah.
Perlu saya tegaskan, mahasiswa Islam kini buta sejarah. Di sekolah mereka dihidangkan dengan ilmu sejarah ala orientalis yang memandulkan ketajaman politik mereka, memusnahkan jiwa jati mereka. Natijahnya, mereka dangkal dalam menilai sesuatu apabila ketiadaan disiplin sejarah dalam minda mereka. Berbekalkan beberapa potong ayat Quran dan Hadis, mereka mengatur langkah menyalahkan ulama' yang memulakan dakwah jamaah, yang mula memuslihkan masyarakat sejak beberapa puluh tahun dahulu sejak kejatuhan Empayar Usmaniyyah. Mereka dirasuk oleh agenda sekular yang bencikan jamaah Islam sepertimana mereka bencikan tokoh-tokoh harakah yang terdahulu sehingga sanggup membunuh mereka.
Kerja yang terbengkalai : langsung tiada amal
Saya juga melihat kegiatan wacana ilmiah yang sememangnya baik dan bagus jika dihidangkan kepada sesiapa yang telah masak dan telah matang dalam gerakan Islam. Tetapi yang berlaku hari ini ialah, hidangan ini dijual borong dikaki lima kampus sehingga terlalu ramai mahasiswa dangkal yang mula menafikan peranan jamaah. Mereka lupa usaha mereka itu terawang-awangan. Mereka mula melupakan amal jamai'e dengan hujah ianya amal yang assobiyyah. Ironinya mereka sendiri tidak berbuat apa-apa selain membaca, mengkritik, menghentam dan berasakan mereka telah adil dengan pelbagai jamaah. Krisis ini adalah penusukan unsur individualistik daripada kapitalisme yang masuk bertopengkan ulama' muda yang alim yang hasilnya mahasiswa ini mula menjadi mufti-mufti, membiddahkan golongan harakah yang silam serta menafikan ijtihad mulia mereka.
Adakah prinsip dan kerangka jamaah kini terlalu kaku sehingga terlalu sukar untuk berubah dan berlapang dada? Jika ada, ianya bukan saranan pengasasnya dahulu. Jika ada itu adalah salah konsep dikalangan pemimpin hari ini. Yang pastinya, ulama' yang berijtihad untuk membina jamaah adalah ulama' yang akomondatif, maju, progressif dan luas keilmuan mereka tidak sekadar menumpu kepada ilmu Al Quran dan Al Hadis semata-mata.
Saya amat sedih melihat mereka kini, keliru, bercelaru, resah dan gelisah terhadap perkara yang terlalu picisan. Terlalu murah keresahan mereka itu iaitu mereka risau yang manakah jamaah yang sebenarnya. Mereka risau benarkah perlunya jamaah. Mengapakah zaman Nabi tiada borang-borang jamaah, tiada markaz-markaz jamaah dan kenapa zaman nabi tiada tanzim dan perlembagaan jamaah seperti mana hari ini. Soalan ini adalah berpunca dari nafsu dan syaitan dan bukannya daripada keikhlasan dan ketajaman akal. Mereka mengatakan diri mereka adil dan terbuka, sebaliknya mereka kerasukan dogma-dogma yang inginkan mereka obses kepada sesuatu yang baru.
Baiah dan pertikaian
Sikap kerasukan ini menjadi lebih parah apabila mereka mengatakan mereka takut untuk berbaiah. Takut adakah kerana mereka ikhlas ataupun bodoh? Adakah generasi kini adalah generasi bacul yang tidak ingin dekat pada tuhannya? Hanya girang berpakaian labuh, berkopiah hakikatnya penakut dan dayus? Mereka lupa janji mereka itu adalah umpama sepasang kekasih yang saling memadu asmara. Allah sejak azali telah berjanji kepada makhluknya yang bernama insan tentang syurga dan ganjaran bagi mujahidin, syuhada' dan golongan yang berdakwah. Allah sejak azali telah menyayangi golongan mutatohhirin. Sedangkan manusia yang lemah dan bodoh ini mengaku bercinta dengan Allah, mengaku berkasih sayang kepada Allah, tetapi takut berjanji dengan Allah, Rasul dan pemimpin Islam untuk bekerja demiNya. Apakah jenis manusia sebegini? Sepasang kekasih perlu ada pengorbanan dan penerimaan. Allah amat sayangkan makhluk yang diciptanya, sedangkan kita manusia tidak bermaya untuk bercinta denganNYa. Hanya mengaku dibibir-bibir dusta. Mereka lupa, pertikaian, rasa serba salah, rasa ragu itu adalah datangnya daripada syaitan dan nafsu mereka.
Umpama memilih sebuah jamaah ini adalah seperti kita yang mempunyai sepasang ibu dan bapa. Tiada seorang pun didunia ini yang mempunyai lebih dari itu. Kenapa begitu? Kerana manusia perlu dididik melalui konsep sepasang ibu bapa yang mempunyai formulanya sendiri, yang mempunyai kaedahnya sendiri, budaya dan norma yang tersendiri. Manusia tidak boleh menerima banyak didikan serentak. Kita boleh melihat anak-anak kecil yang dilahirkan oleh sepasang suami isteri tetapi dipelihara secara bergilir-gilir oleh jiran, datuk, neneknya, ibu saudaranya yang akhirnya akan terbiar dan menjadi masalah di dalam jiwanya. Inilah umpanya kita perlukan satu jamaah yang mengasuh kita dengan idea-idea normatif, konvensional dan konkrit agar kita terbina daripada kerangka kosong menjadi padat secara perlahan-lahan. Jamaah membina individu yang kuat dan berimunisasi lengkap seperti mana ibu-bapa kita memberi vaksin polio dan BCG kepada kita sedari kecil. Inilah jamaah.
Bolehkah kita berlapang dada sesama jamaah yang berlainan?. Tentulah boleh, seperti mana kita berinteraksi baik dengan ibu-bapa jiran kita, ibu bapa kawan kita serta ibu dan bapa saudara kita. Bukankah kita dilarang biadab dengan mereka ini? Begitu juga kita dengan jamaah-jamaah yang lain. Alangkah sedihnya golongan yang belum tervaksin ini, mula bangkit menyalahkan golongan dewasa kononya dialah manusia yang paling adil sekali. Malang sungguh…….
Jamaah ada formulanya sendiri. Formula berbeza mengikut ijtihad ulama'nya. Baiah adalah janji kita untuk menyempurnakan kerja kita sepertimana janji kita untuk belajar bersungguh-sungguh dengan ibu dan bapa kita. Janji itu perlu ditepati kerana ianya membawa kita kepada syurga Allah. Mempersoalkan peranan jamaah adalah sikap biadab yang perlu diperangi oleh kita yang faham. Saya tidak memberi langsung petikan ayat Quran dan Hadis, bukan kerana saya menafikan keperluannya. Saya ingin sedarkan mereka melalui realiti sikap mereka. Berilah kefahaman kepada mereka. Selagi saya masih hidup, saya tidak akan berhenti memberi kefahaman ini kepada tunas baru, walaupun mereka mungkin melupai nama saya. Usaha ini perlu berterusan. Cintailah jamaah Islam sepertimana kita cintakan Rasulullah SAW dan para jamaah sahabat ajmain yang dirahmati. Itulah akhlak yang mulia.
Abg Din,
Aktivis UNITE
Labels: Mauizhoh
0 comments:
Post a Comment