Menyelami Perbahasan Tasyri' Al-Wala' wal-Baro'
Oleh : Mohamad Taufik Abdul Aziz
PENGENALAN
Ketika ini, kelihatan terlalu banyak seruan untuk mengikat persaudaraan, persamaan, tuntutan berpesatuan daripada pelbagai organisasi, perbadanan atau pertubuhan di panggung dunia. Meskipun tuntutan sebegini timbul, namun masing-masing masih ingin mempertahankan fahaman, ideologi mahupun norma hidup mereka kerana bagi mereka agama tiada perkaitan dengan perkara duniawi. Demi mencapai matlamat penyatuan inilah, timbulnya kepelbagaian istilah penyatuan contohnya "Persaudaraan antara agama", "Internasional", "Kemanusiaan" dan lain-lain lagi. Bermulanya propaganda penyatuan ini menyebabkan munculnya teori-teori yang merobek Aqidah ummah Islam seterusnya dipraktikalkan oleh masyarakat Islam yang terpengaruh dengan propaganda penyatuan masyarakat ini. Demi mencapai Syowah Islamiah(kesedaran Islam), penulis cuba untuk berbicara lanjut mengenai al-Wala' wal-Baro'(ketaatan dan permusuhan/pemutusan) yang menjadi punca kepincangan Aqidah Islamiah. Ahli Harakah Islamiah memainkan peranan penting dalam memulihkan kebobrokan Akhlak dan Aqidah yang melanda ummah ketika ini. Dalam memahami al-Wala' wal-Baro', ahli Harakah Islamiah seharusnya mempunyai Aqidah dan Fikrah yang murni demi membumikan ilmu ini dalam diri.
PENDEFINISIAN
Aqidah manusia begitu berkait rapat dengan al-Wala'(ketaatan) dan al-'ada'(permusuhan). Seharusnya, sebagai suatu ummah yang bersatu, umat Islam wajib mempertahankan batu-bata sebuah bangunan yang kukuh terbina sejak permulaan kelahiran Nabi Adam. Inilah yang dinamakan Jama'atul Muslimin. Al-Wala' memberikan pengetian meluas, antara lainnya disebut oleh Dr. Abdullah Ibrahim Ath-Thariqi dalam karangannya ialah menjadikan sesuatu sebagai wali di samping memberikan rasa cinta dan pertolongan kepada sesuatu. Al-'ada' pula didefinisikan sebagai mengadakan permusuhan dan kebencian serta bersikap menjauhi dan menyatakan tentangan terhadap sesuatu. Dalam membicarakan bab ini, Syaikh Abdul Latif ibnu Abdurrahman Alu Syaikh r.hm pernah menyatakan bahawa Al-Wala' mempunyai pendorong yang cukup kuat iaitu rasa cinta manakala Al-'ada' pula didorongi dengan rasa benci. Dorongan cinta dan benci ini mampu menimbulkan pelbagai sikap, ragam dan perbuatan manusia yang menggambarkan hakikat Al-Wala' dan Al-'ada'.
PANDANGAN SYARIAT ISLAM
Syariat Islam amat bertegas dalam membahaskan Al-Wala' dan Al-'ada'. Al-Quran sendiri yang menjadi rujukan utama Jama'atul Muslimin membahaskan dengan panjang lebar berkenaan masalah ini, terutamanya di dalam surah-surah Madaniyah yang turun setelah penghijrahan Rasulullah. Peristiwa kejayaan Islam untuk membina sebuah pemerintahan sendiri di Madinah(negara Islam pertama ditubuhkan) menunjukkan berlakunya perpisahan kepimpinan Islam(wali Ar-Rahman) dan kepimpinan kafir(wali syaitan). Setelah itu, umat pada zaman Rasulullah terpecah kepada bebrapa golongan:
Golongan pertama
Kaum Muhajirin dan Ansar di Madinah yang berada di bawah naungan bendera Rasulullah. Allah telah menumpahkan rasa wala'(saling melindungi) kepada kelompok ini secara menyeluruh(kamil) di antara mereka.
Golongan kedua
Kaum Muslimin yang tidak bersama dalam hijrah Nabi. Golongan ini masih layak mendapat perlindungan dan pertolongan dari Jama'atul Muslimin disebabkan masih ada persamaan antara Jama'atul Muslimin dan mereka iaitu, Iman. Namun, Jama'atul Muslimin tidak dibolehkan memberikan pertolongan kepada golongan ini apabila mereka diperangi oleh orang kafir yang terikat dengan perjanjian, melainkan orang kafir tersebut yang menyerang terlebih dahulu.
Golongan ketiga
Orang munafik yang berada di Madinah dan sekitarnya. Peristiwa bantahan yang dikemukakan oleh seorang munafik terhadap pembahagian ghonimah yang dilakukan oleh Rasulullah menunjukkan bahawa golongan munafik berhak mendapatkan wala' dari umat Islam sesuai dengan kebaikan yang nampak. Sebaliknya, mereka akan mendapatkan baro'(pemutusan hubungan) sesuai dengan kejahatan yang nampak. Namun, Jama'atul Muslimin wajib untuk berjihad menentang dan menyempitkan gerak kerja golongan yang secara zahirnya memperlihatkan kemurtadan dan sikap skeptikal terhadap agama Islam.
Golongan keempat
Golongan Yahudi yang menetap di Madinah dan Nasrani yang menetap sekitar Najran, Habshah dan Sham. Sikap dan perbuatan golongan ini terhadap umat Islam disebutkan secara panjang lebar di dalam mushaf Al-Quran, berkenaan ideologi dan fahaman mereka yang sesat, kedengkian mereka terhadap umat Islam serta akhlak dan moral mereka yang punah, rosak dalam arus Jahiliyah. Allah melarang sama sekali umat Islam untuk memberi wala' terhadap golongan ini dalam memimpin dan mentadbir masyarakat sepertimana sekitar penjelasan Surah Al-Maidah, ayat 51.
Golongan kelima
Golongan musyrik Arab dan seluruh orang kafir dengan dikecualikan Ahli Kitab, sama ada mereka adalah keturunan Arab atau tidak, sama ada mereka musyrik atau Atheis. Islam membekukan hubungan antara umat Islam dengan golongan ini dan bagi mereka hanya dua pilihan yang ditawarkan oleh syariat Islam, sama ada menganut Islam atau berperang. Tiada lagi wujud sentimen kasih sayang , sokongan mahupun pertolongan bagi mereka dari kalangan Jama'atul Muslimin. Hatta, jumhur Ulama' bersikap keras dengan menolak jizyah dari mereka.
Huraian di atas jelas menunjukkan norma dan corak kehidupan manusia yang sezaman dengan kehidupan Rasullullah dan sikap tegas dan keras umat Islam terhadap mereka. Suatu i'tiqad yang seharusnya ditanam dan dibajai dalam diri setiap umat Islam iaitu walayah(cinta, sokongan dan pertolongan) hanya menjadi milik mutlak Allah Taala dan adanya tasyri'(undang-undang) wala' terhadap orang mukmin dan 'ada' terhadap orang kafir.
Pada penulisan akan datang, penulis akan membicarakan beberapa kaedah penting dalam memahami Al-Wala' dan Al-'ada', hakikat dan batasan baro' terhadap bukan Muslim serta bentuk-bentuk wala' dan hukumnya menurut syariat Islam.
Mohamad Taufik Abdul Aziz
Moderator.
Labels: Ulasan Buku
0 comments:
Post a Comment