Langkahan Pertama

DI SINI KITA BERMULA

Oleh : Nik Abdul Razak Nik Redzuan

Suatu sorotan kegemilangan Islam

Zaman itu telah berlalu, peristiwa yang sepatutnya memberikan kesan mendalam dalam hati umat islam. Namun mungkin ada antara kita yang tidak pernah merasai pun kesan kewujudannya, lantaran realiti dunia yang berubah menghanyutkan bersama jatidiri muslim seorang insan.

Zaman ketika mana Islam berada dipuncak telah lama meninggalkan kita. Runtuhnya kerajaan Turki Uthmaniah pada tahun 1924 merupakan satu pelengkap kepada kejatuhan kekuasaan Islam yang sebenarnya telah lama retak, hanya menanti masa untuk tumbang menyembah bumi.

Tampuk kekuasaan terhadap umat manusia keseluruhannya kemudiannya diambil alih Barat, dengan membawa nilai kebendaan, materialistik yang beransur-ansur menyedut roh beragama dalam diri manusia. Dunia sekarang tiada lagi sempadan yang menjadi pemisah antara negara dan bangsa. Itulah globalisasi, yang sebenarnya merupakan satu kesan dan kejayaan hegemoni Barat.

Tapi samada kita sedar ataupun tidak, Barat sudah tiada apa lagi yang mampu disumbangkan, tiada lagi sumbangan nilai yang melayakkan mereka menjadi pemimpin umat manusia. Umat manusia dahagakan nilai yang lengkap, bukan sekadar nilai kebendaan tapi juga nilai-nilai yang mampu memimpin dan mengawal kemajuan ciptaan sains dan teknologi yang kononnya dipelopori Barat. Dan hanya Islamlah yang merangkumi kesemua nilai-nilai tersebut.

Dalam berhadapan dengan situasi ini, timbul persoalan bila dan dimanakah perlu kita mulakan kebangkitan ini? Apa yang pasti umat Islam sekarang bukanlah 'umat Islam' yang sebenar kerana umat Islam dalam erti kata yang sebenar bukanlah mereka yang hidup di bumi yang majoritinya muslim, bukan mereka yang mewarisi Islam dari nenek moyang mereka tetapi umat Islam yang sebenar adalah mereka yang mengamalkan ajaran Islam secara syumul dalam kehidupan mereka. Untuk umat Islam kembali memimpin umat Islam perlu bangkit semula dari keadaan ini.

Asas generasi emas Islam sepanjang zaman

Jika kita melihat kepada Generasi Emas Islam, yang tidak lain tidak bukan generasi para sahabat yang lahir dari didikan secara langsung dari baginda Rasulullah, kita pasti akan menjumpai satu perkara yang akan menjadi asas kepada kebangkitan Islam. Jika kita merenung sejenak kenapa tidak lahir lagi generasi sehebat generasi pertama Islam ini, mungkinkah kerana Rasulullah telah meninggalkan kita, bermakna tiada lagi individu yang dapat membimbing kita? Jika itulah sebabnya mana mungkin Allah mengutuskan Nabi Muhammad sebagai utusan terakhir, mana mungkin dakwah ini meliputi seluruh umat manusia hingga ke akhir zaman.

Sudah pasti itu bukan sebabnya, sebab yang sebenarnya adalah kerana sumber panduan hidup mereka adalah Al-Quran, semata-mata Al-Quran. Segala apa yang dilakukan hanyalah berpandukan Al-Quran. Tapi apa yang berlaku selepas itu, sumber panduan hidup manusia bercampur baur. Falsafah Yunani, cerita-cerita israiliat Yahudi, dan saki-baki tamadun lampau yang sukar dikikis, semuanya bercampur baur dengan Al-Quran.

Cara penerimaan ilmu dan pengajaran mereka juga jauh berbeza dari generasi selepas mereka. Mereka belajar bukan untuk mendapatkan ilmu semata-mata, bukan untuk mendapatkan hiburan, bukan untuk mendengar cerita-cerita di dalam Al-Quran tetapi mereka belajar semata-mata untuk bertindak. Mereka belajar untuk mengetahui apa yang mereka perlu buat, apa tuntutan Al-Quran terhadap mereka dari segi akhlak dan hubungan dengan Allah. Berbeza sekali dengan generasi selepas mereka yang kebanyakannya mencari ilmu sekadar untuk menambahkan 'koleksi' ilmu mereka, untuk ditunjukkan kepada masyarakat supaya mereka dikagumi.

Pada zaman itu, zaman gemilang Islam, zaman Rasulullah dan sahabat baginda, apabila sahabat-sahabat mula memeluk Islam, menggapai cahaya kebenaran Islam dan meninggalkan kegelapan jahiliah, mereka benar-benar berubah, mereka bagaikan manusia berbeza. Jahiliah ditinggalkan bukan sekadar pada zahirnya sahaja, bukan hanya cara islam menjadi cara hidupnya, bahkan pada hati dan perasaan mereka juga telah terbina tembok pemisah yang kukuh antara zaman jahiliah dengan zaman baru mereka, zaman Islam.

Jika kita menganggap zaman jahiliah sudah lama berlalu, kita sememangnya telah tersilap, kerana jahiliah di zaman ini lebih gelap lagi hingga hampir setiap sesuatu di sekeliling kita mempunyai unsur jahiliah.

Mengambil ibrah atau pengajaran dari perjalanan dakwah baginda Nabi Muhammad, perjalanan yang menghasilkan generasi terbaik Islam, langkah pertama yang perlu diambil untuk mencetuskan kebangkitan semula Islam adalah dengan menghapuskan jahiliah, mencabut terus akar jahiliah yang terpacak kukuh selama ini.

Di sinilah kita perlu bermula...tanpa berlengah lagi!

Nik Abdul Razak Nik Redzuan

0 comments: