Islam : Agama Kepercayaan atau Pemikiran


Definisi dan tafsiran Islam hari ini boleh dilihat dalam wajah dan versi yang berbeza-beza. Ianya bergantung kepada intrepretasi manusia yang berbeza berpaksikan kefahaman, aliran pemikiran semasa dan keperluan semasa yang yang berbeza-beza. Kelainan intrepretasi manusia ini lazimnya memberi suatu kebaikkan kepada pemikir Islam namun suasana haru-biru mungkin tercetus dalam kelompok individu yang baru bertatih-tatih mengenali dunia Islam.


Islam berbeza pandang bagi golongan falsafah Islam, ulama’ konvensional, para saintis, ahli pemikir Barat terhadap Islam dan pemikir-pemikir umum masyarakat Islam. Perbezaan ini natijah persepsi para ulama’ yang berbeza-beza dengan adanya unsur dan pengaruh luar yang mengikat untuk berpersepsi begitu. Ketulenannya sudah mula dipersoalkan dengan desakan dan pengaruh unsur luar untuk disesuaikan pendefinisiannya Islam dengan suasana dan keperluan semasa. Lihat saja bagaimana pandangan Pengasas Gerakan Islam India-Pakistan, Syeikh Abul A’la Al Maududi disalahtafsir, diselewengkan maksud penghujahan. Al Maududi dikatakan meletakkan asas kedaulatan berasaskan ketuhanan mutlak sehingga menafikan peranan dan tenaga empat kerat manusia sebagai pemerintah di muka bumi. Al Maududi tampil menjelaskan salahfaham umum tentang penghujahannya. Dalam saranan beliau, beliau menegaskan kekuasaaan menegakkan perundangan tuhan kepada manusia sebenarnya bukanlah mewakili kuasa sebenar tuhan. Ijtihad dan keintelektualan pemerintah tidak seharusnya dinafikan demi menggubal undang-undang yang menjurus kepada penegakan syariah Allah. Cukup jelas di sini, mentaliti dan persepsi boleh berubah tatkala ada unsur-unsur luar yang mencetekkan kefahaman terhadap sesuatu hujjah.


Jauh dalam pemerhatian saya, cabang pemikiran yang terlalu luas seharusnya diidentifikasikan kepada bentuk yang lebih mudah. Samada Islam itu wujud sebagai suatu kepercayaan ataupun Islam itu sebagai suatu pemikiran. Semestinya setiap pilihan (option) yang ada menantikan suatu natijah. Para ulama’ meyakini bahawa Islam itu wujud dalam bentuk kepercayaan. Intelektual Barat sebahagiannya besar berpendapat agama wujud dalam bentuk pemikiran yang dijelmakan pengamalannya melalui ritual ‘ibadah’ ke arah mendapatkan sesuatu.


Islam Agama Kepercayaan


Mari kita selusuri definisi Islam. Islam adalah ‘selamat dan sejahtera, tunduk dan patuh dengan lunas-lunas agama serta hukum Pencipta dengan mengakui Rasulullah sebagai pembawa risalah kebenaran’. Umumnya sesuatu yang abstrak atau tidak kelihatan dengan pancaindera mata sukar untuk dipercayai apatah lagi untuk terus dijadikan pegangan. Kepercayaan adalah sesuatu yang abstrak yang dianuti oleh pengamalnya dengan manifestasi ritual bersulamkan noda. Ramai yang mempercayai hukum haram berjudi, pada masa yang sama berjudi menjadi rutin harian. Lantas menyebabkan manusia percaya bahawa Islam itu hanya sekadar agama kepercayaan. Hal ini membuka ruang yang melebar luas untuk doktrinisasi sekular disuntik dalam pemikiran dan jiwa penganut Islam.

Apakah kepercayaan Islam yang kita anuti sebenarnya? Cukupkah hanya solat fardhu, berpuasa, bayar zakat, tunaikan haji sahaja? Ataupun tambahan amalan-amalan ritual yang sunat pahalanya? Cukupkan bacaan Al-Quran jadi indicator sebenar bahawa kita adalah Islamis? Atau adakah pemakaian kopiah berlilitkan serban putih lelaki serta jubah dan ptudung labuh bagi perempuan baru dikatakan kita berada dalam suasana Islam? Bagi saya di mana jua kita berada, di situlah adanya Islam. Persoalannya bukan kepada suasana atau objek sekeliling mengikut Islam atau tidak. Di sinilah peranan dakwah diiplementasikan apabila suasana sekeliling tidak mengikut lunas akhlak dan hukum Islam.


Islam Suatu Pemikiran


Keunikan pada manusia berbanding makhluk lain adalah mempunyai 3 elemen kesempurnaan iaitu roh(hati), jasad(tubuh badan) dan akal fikiran. Roh(hati) adalah fitrah(suci) yang sentiasa bergelut dengan nafsu untuk merajai jasad(tubuh badan) manusia. Akal pula seharusnya dipandu oleh wahyu(Al Quran & As Sunnah) namun sentiasa bersemuka dengan idealisme-idealisme yang hadir tanpa rujukan wahyu. Bermula dari hati yang mencetuskan sesuatu, akal akan memproses baik atau buruk diterjemahkan manusia melalui jasad yang menjadi agen pelaku. Proses berfikir tanpa panduan wahyu (secara bebas) akan mengundang pelbagai natijah baik dan buruk, menyebabkan manusia melampai batasan perlakuan sehingga melanggari hokum-hukum agama (Islam). Di sinilah Islam berperanan untuk memandu akal supaya tidak melepasi sempadan merah agar jasad manusia tidak rosak dan punah. Namun, di sana Islam tidak menghalang manusia untuk berijtihad dalam merungkai permasalahan yang tiada nas dan panduannya secara langsung daripada nas-nas Islam. Bahkan Islam sendiri melarang penganutnya untuk ber’taqlid’ semata-mata tanpa asas ilmu dan hikmah. Sejarah Islam membuktikan proses Ijtihad dalam agama adalah suatu hikmah yang Allah kurniakan pada manusia untuk mengembangkan sayap dakwah, tarbiyah dan siasah Islam. Namun begitu, ijtihad sewajibkan disandarkan kepada nas-nas yang menghampiri perkara yang di’ijtihad’kan.


Konklusi


Sebagai rumusan, saya meyakini bahawa Islam adalah agama kepercayaan yang mengikat namun bukanlah yang menyekat dan menghalang manusia sehingga menafikan tenaga manusia untuk memurnikan agama Allah di dunia. Nasihat saya, bagi mereka yang masih berfikiran sempit atau one way thinking, anda masih dalam penguasaan idealisme sekular yang dicipta oleh anasir yang benci dan mahu jatuhkan Islam. Islam adalah agama dan kepercayaan saya. Inilah pegangan saya.


MOHAMAD TAUFIK ABDUL AZIZ

KEJURUTERAAN BAHAN

UNIVERSITI MALAYA

;;