Ilmiah

Manusia, Alam dan ISLAM…Suatu Kebergantungan

Mengenal diri sendiri bererti kita mengenal pencipta kita. Ayat ini seringkali kita dengar, akan tetapi adakah kita pernah memikirkannya secara mendalam? Menjadi khalifah di muka bumi, adalah satu tanggungjawab yang begitu berat, yang mana tidak sanggup ditanggung oleh mana-mana makhluk lain melainkan manusia. Siapakah manusia? Apakah khalifah? Dan apa kaitannya dengan muka bumi serta ISLAM? Mari kita lihat maksud istilah satu persatu dan kaitan antara ketiga-tiganya.

Sebelum memulakan perbincangan dengan lebih jauh, apakata kita membuat sedikit persediaan minda, buka minda kita seluas-luasnya, buka minda kita dengan cahaya Yang Maha Pencipta, semoga apa yang akan kita lalui ini merupakan satu perbincangan yang ilmiah dan bermanfaat.

Manusia, adalah berasal daripada perkataan arab nasia memberi makna lupa, lalai. Dan manusia adalah pengamalnya, makhluk yang lupa, yang sering lalai, itulah manusia. Di dalam Al-Quran, telah Allah sebutkan bahawa manusia adalah Allah lantik menjadi khalifah di muka bumi. Khalifah juga adalah berasal daripada perkataan arab khalafa yang wakil, duta. Bererti, manusia adalah wakil Allah dalam konteks mentadbir alam ini.

Alam, apakah alam? Juga berasal daripada perkataan arab ‘alam, memberi maksud seluruh makluk ALLAH yang ada di sekeliling kita sama ada diketahui atau pun tidak. Yang melibatkan benda hidup dan bukan hidup. Dan ISLAM juga berasal daripada kalimah arab yang bermaksud selamat, aman yang mana memberi umat ISLAM satu cara hidup yang selamat dan aman serta mengajak umatnya mengenal Tuhan Yang Maha Esa.

Setelah kita mengetahui makna istilah-istilah di atas, kita dapat berfikir sejenak apakah kaitan semuanya yang menjadikan hidup di dunia ini sangat unik dan lebih bermakna, dan jika diteliti kembali, semuanya ada kaitan yang rapat dengan ISLAM. Manusia sebagai khalifah di muka bumi adalah diamanahkan oleh ALLAH untuk hidup dengan baik dengan semua makhluk-makhluk lain. Dengan memahami keperluan hidup masing-masing, tugas ini akan dapat dilaksanakan dengan baik.

Oleh itu, kaitan manusia dengan alam kini jelas menunjukkan bahawa kita harus bersedia untuk bekerjasama dengan alam sekeliling kita. Namun kini, kita dapati alam sekitar telah banyak didominasi dan dimanipulasi fungsinya oleh manusia yang sering lupa dan lalai akan tanggungjawab sebenar mereka terhadap alam sekitar. Bersikap rakus menebang dan meratakan pokok untuk mengaut keuntungan semata-mata adalah masalah utama yang kita hadapi sekarang. Tapi, rata-rata masyarakat tidak mempedulikannya kerana berfikir bahawa perkara tersebut tidak akan memberi kesan kepada mereka.

Inilah cara berfikir manusia yang leka dalam nikmat dunia. Mereka lupa tsunami yang melanda, mereka leka dengan kesan La Nina, mereka tidak mengambil iktibar daripada JE, mereka mengendahkan sebaran penyakit H5N1 (selsema burung), mereka memandang sebelah mata kepada rubella dan demam denggi, dan pelbagai lagi musibah yang melanda sekarang. Mengapakah perkara ini boleh terjadi? Zaman dahulu jarang kita dengar bencana alam dan penyakit yang pelik lagi aneh, tapi sekarang, ia ibarat angin yang membelai cuping telinga manusia,

Inilah sebenarnya akibat manusia tidak menjalankan amanahnya sebagai khalifah dengan baik dengan mengabaikan tanggungjawab terhadap alam sekitar. Bencana alam dan penyakit-penyakit yang mucul yang dinyatakan di atas ini boleh dijelaskan dengan kaedah saintifik, yang mana ia berpunca daripada manusia itu sendiri. Demikianlah akibat yang diterima apabila manusia itu gagal merubah sikap ‘tak apa’ mereka. Sikap yang akhirnya merosakkan kualiti hidup mereka.

Langsung, ini juga adalah kaitannya dengan ISLAM. seperti yang dinyatakan dalam Al-Quran, alam semesta menyimpan sejuta rahsia ALLAH yang kita sendiri tidak mampu menyingkap kesemuanya kerana terhad ilmu yang dikurniakan ALLAH. Alam sekitar ini juga adalah satu anugerah dan nikmat ALLAH yang tidak ternilai harganya. Berbakti kepada alam sekitar adalah dikira sebagai menjalankan tanggungjawab moral kita sebagai orang yang beragama. ISLAM juga mengajarkan umatnya supaya berbuat baik kepada semua makhluk.

Jika dilihat dari sudut saintifik, apa yang diajarkan dalam ISLAM memang tepat dan ada kaitan dengan ilmu sains. Ini kerana ia datang dari sumber yang sama, ISLAM dan ilmu sains tabii, adalah datang daripada Yang Maha Pencipta, lagi Maha Agung. Perkaitannya memang tidak dapat dinafikan kerana ia adalah salah satu punca yang ALLAH mahu manusia mengkaji dan belajar mengenai alam semesta. Ini juga menunjukkan betapa agungnya agama yang ALLAH turunkan.

Oleh itu, dapat disimpulkan di sini bahawa semua yang ada di muka bumi ini saling berkaitan dan memerlukan antara satu sama lain, saling lengkap melengkapi dan inilah yang menjadikan kehidupan di dunia ini unik dan menarik. Semuanya tidak dapat dipisahkan daripada ISLAM dan akhirnya akan balik semula kepada Penciptanya ALLAH S.W.T.. Demikianlah ALLAH telah mewujudkan kehidupan ini. Bersyukurlah kerana kita diberi peluang menikmatinya….Syukran lillah…Alhamdulillah

Marilah kita sama-sama muhasabah diri sebelum terlambat.

Kritikan dan komen di alu-alukan….

NUR AFIFAH RAMDAN


Modal Insan

GURU DAN PEMBENTUKAN MODAL INSAN

Dalam usaha menyediakan tenaga kerja yang berkualiti untuk mencapai kecemerlangan negara yang berterusan, Perdana Menteri Malaysia kelima telah membangkitkan mengenai Konsep Modal Insan dalam pembentangan Rancangan Malaysia KE 9 (RMK 9). Hasrat kerajaan adalah tinggi dalam melahirkan generasi pelapis yang berkualiti dalam menerajui negara ke arah kemajuan yang bakal dicapai terutamanya dalam menghadapi Wawasan 2020.

Apabila harapan kerajaan ini difokuskan kepada generasi pelapis, sudah tentu mereka ini adalah golongan yang sedang berada di universiti dan sekolah pada masa sekarang. Merekalah yang bakal menerajui negara dalam segenap lapangan. Merekalah yang akan jadi pemimpin, pengurus, penggerak pembangunan negara seterusnya merekalah yang akan menjadi golongan yang akan berusaha memajukan negara di samping menikmati apa juga kejayaan yang telah diusahakan oleh generasi terdahulu.

Dalam penulisan ini saya tertarik untuk membincangkan peranan guru secara langsung dalam membentuk generasi pewaris tampuk kepimpinan negara ini berteraskan konsep modal insan yang digagaskan oleh kerajaan. Seperti mana yang kita telah maklum, adalah menjadi tanggungjawab guru dalam menyediakan dan mempersiapkan generasi pelapis ini dalam era revolusi informasi abad ke 21. Cabaran-cabaran yang dihadapi oleh guru dalam pembentukan “knowledge worker” dalam era kepesatan teknologi ini sangat luas sehingga tak terdaya untuk dikawal oleh guru-guru, walaupun dalam sekolah.

Jika kita lihat fenomena yang berlaku dalam masyarakat Malaysia kini, guru-guru sering dipersalahkan jika anak-anak tidak mencapai kecemerlangan. Ini bermaksud masyarakat telah memandang rendah terhadap profesionalisme perguruan di Malaysia sekarang, berbanding pada zaman dahulu. Orang ramai semakin kerap mempersoalkan kualiti pendidikan di sekolah, seolah-olah tidak lagi menaruh keyakinan kepada kewibawaan sekolah dalam hal ehwal mendidik, terutamanya apabila mendapati kelakuan murid lepasan sekolah tidak seperti yang diharapkan oleh masyarakat dan negara. Kecemerlangan pada sijil peperiksaan mereka secara realitinya tidak memperlihatkan kematangan berfikir, kepetahan berkomunikasi, ketokohan sebagai pemimpin, kemurnian tingkah laku, keupayaan mencipta dan menyumbang kepada kemajuan negara-bangsa dan global.

Jika kita kaji, banyak aspek ditekankan oleh pihak pentadbiran sekolah dalam rangka melahirkan pelajar yang berkualiti dari sudut akademik terutamanya aspek pembangunan fizikal di sekolah. Pihak pentadbiran menuntut bangunan yang selesa, komputer yang cukup, makmal komputer yang lengkap, makmal Sains yang banyak sudah cukup untuk membuktikan komitmen pihak sekolah untuk melahirkan insan yang cemerlang di bidang pelajaran. Tetapi, pada masa yang sama mereka mengabaikan mengenai aspek pembentukan akhlak pelajar di sekolah menyebabkan selepas sekolah bukan Universiti yang dijejaki oleh para peljar ini, tetapi Penjara dan Pusat Serenti yang menanti.

Walaupun dalam usaha melahirkan sebuah negara yang maju, kebanyakan perbincangan lebih dominan memperdebatkan hal-hal fizikal, namun aspek pembentukan akhlak amat perlu dititikberatkan terutamanya bermula di peringkat persekolahan. Mengambil contoh fenomena terkini yang berlaku dalam sistem pendidikan sebuah negara maju iaitu Amerika Syarikat menunjukkan bilangan murid-murid yang belajar di rumah “homeschooling” semakin meningkat dari setahun ke setahun sebagai manifestasi ketidakpercayaan ibubapa dan orang awam terhadap kualiti dan prestasi pendidikan yang ditunjukkan oleh sekolah-sekolah awam. Perkara ini berpunca akibat kebimbangan ibubapa terhadap sistem persekolahan yang boleh menjejaskan aspek fizikal, mental dan spritual anak-anak mereka. Tidakkah anda semua terfikir bahawa Malaysia juga akan mengalami kedaaan yang sama apabila mencapai taraf negara maju nanti?

Oleh itu, guru seharusnya memahami akan peranan mereka sepenuhnya dalam menjayakan modal insan ini. Segalanya perlu bermula dari diri guru tersebut. Menjadi seorang guru yang cemerlang bukan sahaja dinilai dari aspek luaran semata-mata, tetapi yang lebih penting adalah keperkasaan dari aspek profesionalismenya, prinsipnya, keutuhan peribadinya, kecekapan dan ketrampilan mental dan intelektualnya, kestabilan emosi dan spiritualnya seta kebijaksanaan kepimpinannya. Usaha-usaha ini penting dalam menyiapkan diri mereka sebagai role-model utama terhadap generasi bakal peneraju kemajuan negara suatu hari nanti.

NORHASRIZA MUSTAFA

Universiti

UNIVERSITI DAN KEINTELEKTUALAN

Sebelum memulakan penulisan ini, saya tertanya-tanya,Siapakah seorang intelektual? Adakah orang-orang yang memegang segulung ijazah atau segulung master ataupun Phd yang mempunyai ilmu yang tinggi? Persoalan ini telah membawa kpd penulisan artikel ini. Seorang intelektual adalah seorang yang menggunakan inteleknya dan yang berfikir serta boleh menganalisis. Universiti adalah institusi yang dianggap menggunakan kaedah penikiran dan renungan. Inilah sebabnya mengapa orang mengharap pendidikan universiti untuk melahirkan para interlektual.

Adakah benar pendidikan universiti melahirkan para interlektual sedangkan ramai golongan interlektual yang tidak pernah menuntut di universiti..Di dunua barat,2 ahli fikir abad ke 19 yang terkenal,Herbert Spencer dan Proudho tidak memiliki ijazah tetapi mampu mengegarkan dunia dengan idealisma mereka. Begitu juga dengan Ho Chi-Ming dari Vietnam dan Mao tse-Tung dari China.Interlektual Indonesia, Mohd Natsir merupakan seorang guru tanpa pendidikan universiti. Disebaliknya terdapat ramai orang lain,sama ada di barat ataupun timur termasuk negara kita sendiri,yang walaupun ada pendidikan universiti tetapi tidah seharusnya dipandang sebagai intelek..Kenapa..Ini kerana mereka tidak mempunyai kemahiran berfikir yg kritis.

Walaupun demikian, memandangkan kepada fungsi Universiti yg dianggap 'gah' dalam melahirkan seseorang intelek maka masyarakat akan berkeinginan untuk mengetahui sama ada pendidikan universiti di Malaysia sedang menghasilkan golongan intelektusl atau tidak. Apa yang dapat saya katakan adalah kita sedang melahirkan semakin banyak graduan atau mahasiswa yang memiliki pendidikan tinggi yang formal.Hanya segelintir Imtelektual yang dapat dihasilkan.

Apakah buktinya? Apabila kita mengamati dengan teliti,kita akan menyedari betapa kurangnya pemikiran yang dilakukan terhadap isu berkaitan dengan politik,ekonomi dari hubungan etnik oleh manusia yg digelar mahasiswa.Jarang sekali graduan uniersiti yang mengemukakan persoalan-persoalan berkaitan hal ini.Mereka telah terlatih untuk belajar dan mendapatkan Gred yang baik dalam kos yg diambil tanpa menpedulikan isu-isu yang dianggap akan menggangu pembelajaran mereka. Dengan adanya sikap sedemikian sedikit sebanyak telah menghakis ciri-ciri intelektual yg perlu ditanam dalam diri mahasiswa.

Dalam membincangkan isu etnik contohnya, amat kurang sekali sikap ingin mengetahui (curiosity) bagaimana sikap kebudayaan membawa kesan keatas hubungan etnik.Jika dilihat hanya sebilangan mahasiswa yang menghadirkan diri dalam Kursus-kursus seperti Kursus Alternatif Hubungan Etnik. Bahkan soalan nasional yg penting seperti "Kebudayaan Identiti malaysia yang kita inginkan' pun tidak pernah dianalisiskan secara intelektual. Jika adapun hanya pertanyaan-pertanyaan,peringatan, dan beberapa analisis yg cetek. Kurang terdapat pemikiran yang sistematik dan tafsiran berlanjutan.

Apakah sebab kurangnya kemajuan intelektual di universiti. Antara sebab utama ialah wujudnya kawalan politik terhadap idea-idea dan ancaman keatas para intelek itu sendiri. Walaupun ia dipandang remeh bagi sesetengah pihak, tetapi ia membawa kesan yang menakutkan kepada 'bakal' pemikir dan penafsir muda utk mewujudkan idealisma mereka.Lihat sahaja betapa banyaknya penyelewengan yang dilakukan dalam pilihanraya kampus di seluruh malaysia...kenapa ini berlaku..sama-sama kita renungkan.

Selain itu, sebab lain yang menyebabkan kurangnya kemajuan intelektual di universiti ialah sistem pendidikan yang tidak menggalakkan pemikiran secara serius di kalangan mahasiswa. Para penuntut hanya didedahkan dengan teori semata-mata,tidak menggalakkan pemikiran yang asal dan bebas. Ini sedikit sebanyak telah menyekat idealisma mereka dan skop pemikiran mereka diperkecilkan.

Satu pendekatan baru terhadap dasar pendidikan Universiti diperlukan. Penekanan mestilah dibuat keatas pemikiran kritikal. Para pelajar hendaklah melihat berbagai isu dalam sejarah yg sebenar, Politik, sosiologi dan ekonomi secara kritis. Disamping pendedahan terhadap ilmu falsafah. Mereka juga digalakkan mengkaji keadaan sosial tertentu dalam persekitaran mereka.Setelah matang melalui latihan,barulah teori serta contoh sosiologi dan politik dari luar diperkenalkan.Dengan cara ini seseorang mahasiswa akan menjadi bebas dari segi intelek serta mempunyai pemikiran yang tidak dikuasai oleh idea-idea yang tiada atau ada kena mengena dengan latarbelakang mereka.

Walaubagaimanapun, Universiti di negara kita tidak mungkin bersetuju menjadikan 'pemikiran kritikal' sebagai asas sukatan pelajaran. Ini adalah kerana Universiti di malaysia ditubuhkan dengan tujuan mengekalkan sistem, atau yang lebih tepat sistem Tanpa tradisi interlektual...ADAKAH INI YANG KITA MAHUKAN..Fikirkan

Alifah Ahmad

KEHARMONIAN BERAGAMA DI MALAYSIA

Tiap-tiap agama percaya kepada tuhan , percaya kepada dunia akan datang dan semua agama menggalakkan umatnya membuat kebaikan . Tidak ada agama yang menerima pembunuhan , penyiksaan atau lain -lain kegiatan pemusnahan. Sesiapa sahaja yang menerima kepercayaan kepada tuhan , membuat kebaikan , percaya kepada agama yang diyakini benar tidak kira Islam , Kristian , Buddha atau Hindu ,akan terdapat ganjaran dari tuhan.

Oleh itu , dalam satu komuniti manusia akan wujudnya agama -agama yang berlainan. Tetapi ini tidak menjadi satu masalah dalam mewujudkan keharmonian , tidak kira keharmonian dari segi agama mahupun kaum. Pada pandangan Islam, manusia dianggap sebagai satu , setiap orang menyembah tuhan dan sewajarnya membuat kebaikan serta menerima akibat dari perbuatannya dalam dunia akan datang. Adakah pandangan ini berlainan dengan agama-agama yang lain ?. Mengapa masih terdapat begitu banyak perselisihan dan pergolakan dalam masyarakat manusia global ?

Jika dilihat dalam skop yang lebih kecil , iaitu dalam negara Malaysia ini sendiri, penulis merasakan Islam adalah sempurna untuk diamalkan di sebuah negara yang berbilang kaum dan agama. Ini kerana Islam menerima agama yang lain dan memberi hak yang sama kepada orang muslim dan non muslim. Tetapi apa yang berlaku sekarang adalah jauh terpesong dari landasan kebersamaan . Islam yang diamalkan oleh sebahagian umat islam di Malaysia adalah Islam yang berfikiran sempit dan yang lebih teruk lagi apabila cauvinisme telah menjadi sebahagian daripada kepercayaan mereka. Islam di Malaysia dipandang dalam peraspektif komunal. Mungkin ini tidak dapat dielak memandangkan tanggapan masyarakat bahawa semua melayu adalah muslim dan Islam dipandang sebagai agama Melayu. Definisi 'melayu' di dalam Perlembagaan Malaysia sendiri mempunyai pertalian yang begitu rapat dengan Islam. Bagaimana ingin mengambil kepercayaan non muslim jika penekanan yang dibuat bukan pada agama tetapi hanya pada kaum.

Dalam suasana masyarakat sekarang , dimana kesedaran etnik semakin meningkat. orang -orang bukan melayu yang minoriti akan mengembangkan kesedaran yang jelas tentang latar belakang etnik mereka. Ini sedikit sebanyak telah menghasilkan jurang yang semakin besar antara orang- orang muslim dan non muslim. Orang -orang muslim yang mungkin memandang agama mereka 'lebih unggul' dari yang lain akan mungkin bertindak merungkai nilai dan pertalian umum yang wujud antara islam dengan agama lain. Keharmonian beragama telah menjadi satu kata -kata dongengan yang tidak bererti. Adakah kita sanggup menjadi seperti burung kasawari yang membenamkan kepalanya ke dasar pasir, dengan harapan masalah ini akan hialng. Alangkah bagusnya jika terdapat lebih banyak individu yang mempunyai kesedaran untuk mengadakan perbincangan atau forum ataupun kursus bagi menyedarkan betapa pentingnya keharmonian dalam beragama. Akan tetapi Islam tetap berprinsip dan prinsip tidak boleh disentuh dalam mana-mana forum sekalipun. Inilah pendapat peribadi saya. Adalah asas dalam satu negara yang berbilang agama, supaya setiap orang memahami nilai -nilai dan falsafah beberapa agama yang diamalkan di negara ini. Pemahaman agama lain akan menyebabkan kita mengetahui adab, norma kehidupan dan budaya etnik lain sekaligus menyebabkan keharmonian wujud.

Bagi umat islam di Malaysia terutamanya, adalah perlu bagi kita memahami islam yang benar dan progresif agar dapat mewujudkan sebuah negara yang harmoni. Untuk memahami islam yang progresif, idealisma yang progressif serta sahih berteraskan normatif Al Quran dan Hadis mestilah ditanam dalam setiap individu bagi mengelakkan bersarangnya fikiran konservatif. Bagi umat islam, mereka seharusnya mengutanmakan ad-din agama lebih daripada cara dan upacara. Percaya bahawa hakikat perubahan dan pertukaran yang sentiasa berlaku adalah sah dengan nilai yang menjadi teras agama. Tidak berfikiran sekular dan menerima ijhtihad atau penyiasatan bebas yang tidak berdasarkan nilai Quran dan Sunah serta memahami peranan akal diberi penekanan dalam soal agama. Selain itu, umat islam juga seharusnya boleh menerima idea dan konsep dari luar Islam asalkan ia selaras dengan nilai asas Quran (Rujuk Fiqh Daulah Prof. Dr. Yusuf Qaradhawi). Sebagai contoh, unsur yang sihat dari sudut fizikal dan sosial 'barat' boleh diterima dan adalah penting untuk pembangunan islam boleh diambil. Umat islam yang progresif akan menggangap perubahan struktur sebagai usaha yang sama penting dengan pendidikan moral yang bertujuan mewujudkan insan yang baik ( madinatul Fadilla ). Dalam mewujudkan insan yang baik, tidak seharusnya membeza - bezakan mengikut jantina , kaum, bangsa, atau agama.

Untuk memastikan pemikiran progresif benar -benar berakar umbi dalam tradisi pemikiran Islam, umat islam mestilah mengamalkan konsep perpaduan manusia bukan berdasarkan kaum , keturunan , ataupun agama. Piagam Madinah yang dirangka Rasulullah, contoh dari pemerintahan Saidina Umar dan Ali serta tulisan tokoh -tokoh islam sepanjang sejarah, semua membawa kepada kesimpulan yang sama iaitu Islam percaya kepada perpaduan manusia. Sebelum mengakhiri tulisan ini, ingin saya tegaskan betapa pentingnya sikap progresif , rasional , toleransi dan sikap yang tidak dogmatik dan tidak cauvinis dikalangan generasi baru jika mereka ingin memimpin rakyat ke arah keharmonian dan perpaduan dalan negara yang berbilang kaum dan agama. Tulisan ini adalah mencerminkan minda saya selaku penganut Islam.

Alifah Ahmad

Jurnalis Cahaya-01

EMANSIPASI DAN EKSPLOITASI

Pernahkah anda mendengar mengenai emansipasi kaum wanita? Di Malaysia mungkin perkataan ini agak asing, tetapi kaum wanita Barat amat sinonim dengan perjuangan emansipasi kaum wanita. Emansipasi membawa maksud pembebasan atau kesamaan hak. Pada awalnya, emansipasi wujud seawal kurun ke 17, apabila masyarakat Barat cuba membebaskan diri daripada tekanan pihak gereja. Perubahan arus masyarakat, telah menyebabkan gerakan pembebasan turut merasuki semangat wanita Barat yang menuntut kebebasan dan kesamaan hak dengan kaum lelaki hinggalah wujudnya golongan feminist dalam masyarakat Barat yang telah menjadi sebuah gerakan terancang pada awal abad ke 19. Di Indonesia pula, sejarah emansipasi mula didengungkan oleh masyarakat ketika kuasa kolonial Hindia Belanda mengeksploitasi tenaga masyarakat pribumi untuk mengaut keuntungan.

Kini emansipasi amat sinoniom dengan wanita, sehingga di beberapa buah negara termasuklah Malaysia tertubuhnya kementerian khusus untuk menjaga hak wanita iaitu Kementerian Pembangunan Wanita dan Sosial. Ini merupakan salah satu wadah untuk memperjuangkan kesamarataan hak wanita walaupun tidak terzahir dengan jelas perjuangan emasipasi wanita di Malaysia. Hakikatnya, wanita di Malaysia tidak pernah terpinggir dalam banyak segi di Malaysia, sebagai contohnya dalam peluang melanjutkan pelajaran, memilih pekerjaan dan pembahagian gaji. Oleh itu kita tidak melihat ketumbukan yang kuat dalam pertubuhan-pertubuh an wanita di Malaysia dalam memperjuangkan hak-hak ini.

Cuma beberapa tahun kebelakangan ini, kita pernah terdengar mengenai isu poligami yang menjadi perhatian beberapa pertubuhan wanita Malaysia seperti Majlis Kebangsaan Pertubuhan-Pertubuh an Wanita Malaysia, Sisters In Islam, Persatuan Peguam-Peguam Wanita Muslim dan lain-lain; yang telah menyuarakan dengan lantang kebimbangan mereka terhadap suami yang ingin berpoligami. Isu tersebut menjadi hangat terutama apabila kerajaan Selangor memansuhkan peraturan tandatangan isteri yang sedia ada di dalam borang permohonan jika seseorang suami itu berhasrat untuk berpoligami. Kemudian isu ini dikaitkan pula dengan bermacam-macam insiden seperti pengabaian tanggungjawab suami terhadap isteri pertama, keadilan, nafkah dan lain-lain.

Saya tidak mahu mengulas lanjut mengenai isu tersebut, kerana terpulang kepada kita untuk menilai buruk dan baiknya poligami mengikut persepsi dan keadaan sendiri. Apa yang ingin saya bangkitkan di sini adakah relevan isu ini diperbesarkan kerana isu poligami merupakan isu kontrovesi sepanjang zaman yang tak pernah akan selesai tanpa toleransi dan pemikiran yang rasional. Ada baiknya kita menumpukan pada nasib kaum wanita kita yang dieksploitasi oleh beberapa pihak untuk mengaut keuntungan, sama seperti apa yang pernah penjajah lakukan pada kita suatu masa dahulu.

Faktor ekonomi telah menjadi potensi pemberdayaan wanita. Wanita bekerja mencari nafkah adalah wajar dipandang dari kesetaraan antara manusia tetapi pada masa yang sama wanita juga dianggap bernilai dan berharga tinggi menjadi penghias majalah, iklan dan pemasar. Natijahnya, kaum lelaki puas melihat keindahan, perempuan pun senang dan mengidolakan, wang beredar berputar, ekonomi naik, semua sejahtera. Eksploitasi pun akhirnya dimaafkan, semua benar, atau semua salah, dan statistik kejadian rogol dan bunuh wanita yang menang.

Berbalik pada persoalan emansipasi tadi, saya merasakan ini merupakan satu persoalan rumit yang perlu diteliti oleh pertubuhan-pertubuh an wanita di Malaysia. Sistem telah mengarahkan lelaki dan wanita dalam eksploitasi bertopengkan emansipasi, keduanya tidak hanya objek tetapi juga sebagai pelaku. Kita, baik lelaki atau wanita tanpa kita sedar atau tidak sedang dieksploitasi. Tidakkah anda smua terfikir?

SELAMAT BERFIKIR UNTUK MENCARI KEBENARAN

NORHASRIZA MUSTAFA

Penulis Cahaya-01

Model Minda

MELAYU : MODEL MINDA PERLU DIJANA


Dalam era mengenal dunia cyber abad ke – 21 ini, kita harus meletakkan matlamat yang realistik untuk mengangkat martabat Melayu ke tahap cemerlang seiring dengan matlamat negara maju pada tahun 2020. Kita berharap apabila Malaysia berjaya merealisasikan impiannya untuk menjadi negara maju dalam pelbagai dimensi termasuk ekonomi, politik, sosial, kerohanian, psikologi dan kebudayaan pada tahun 2020 nanti, umat Melayu turut mengalami proses transformasi dan reformasi untuk mencapai kecemerlangan dalam semua bidang. Tidak ada manfaatnya andai Malaysia mencapai negara maju sekiranya umat Melayu masih ketinggalan dan tidak menerima faedah daripada kemajuan yang diidamkan tersebut.

Menjadi suatu adat, apabila setiap bangsa yang berjaya di dunia ini akan menjadi tumpuan seluruh dunia lantas menjadi aset untuk dikaji tentang apakah faktor di sebalik tabir atas kejayaan mereka sebenarnya? Memang banyak faktor yang menjadi sebab dan asas kepada kejayaan mereka tetapi yang terpenting dan yang menjadi akar umbi kepada segala faktor yang sedia ada ialah minda sesuatu bangsa tersebut. Dengan keupayaan bangsa Melayu menempa kejayaan setakat ini, adalah wajar kita memahami dan membentuk minda kita sendiri bagi memastikan agar kejayaan tersebut berterusan dan menjad ikutan setiap bangsa Melayu yang ingin berjaya. Dalam konteks yang ingin dibincangkan mengenai minda ini ialah minda ‘Melayu Muslim’ kerana Melayu yang ingin kita tonjolkan sebagai penggerak pembinaan negara dan tamadun kita ialah Melayu yang jelas dengan tasawurnya, jelas dengan nilai pegangan serta prinsip hidupnya iaitu Islam.

Bukanlah agama Islam yang ingin ditonjolkan dalam penulisan kali ini, tetapi sudah menjadi seperti isi dan kuku, Melayu pasti dikaitkan dengan Islam. Bezanya kita (bangsa Melayu) berbanding dengan sebahagian masyarakat Islam yang lain ialah mereka lebih mementingkan label dan laungan Islam, tetapi kita lebih mementingkan pencernaan, penterjemahan dan natijah Islam dalam bentuk yang pragmatis dan berkekalan. Kita percaya Islam itu kaya dengan ilmu dan Islam juga memberi ruang yang luas dan pelbagai opsyen dalam menghadapi cabaran kontemporari dalam tuntutan kehidupan, tanpa mengambil kira zaman atau tempat. Islam adalah suatu cara hidup yang mengizinkan pelbagai pendekatan bertepatan dengan batasan yang ditetapkan. Ia seharusnya digali, digubal dan diinovasikan dalam ruang bertindak yang sangat luas. Dalam Islam yang diharuskan itu lebih banyak berbanding yang ditegah.Sama ada kita menerokai disiplin ekonomi, politik, sosial, sains dan teknologi, pendidikan, riadah dan sebagainya, kita akan sentiasa menjumpai opsyen Islam yang pelbagai pendekatan. Persoalannya, mengapa dengan kelonggaran yang disediakan, kadangkala kita mesih terbawa-bawa dengan perspektif yang sempit. Kita masih izinkan diri serta pemikiran kita dijajah dengan perspektif yang bertentangan dengan nilai agama dan budaya kita. Kita masih berasakan pergerakan kita terkongkong, masih merasakan kita tidak boleh melepaskan diri daripada belenggu pemikir asing dan sebagainya. Hal sedemikian berkemungkinan kerana kita tidak sedar akan potensi dan bakat yang ada pada diri kita. Mungkin juga di antara kita yang tidak mahu mendedahkan diri kita kepada perkara-perkara yang baru, kerana setiap yang baru itu ditanggapi mencabar status-quo atau kedudukan umat Melayu.Mungkin ada juga yang terlalu merendahkan diri sehingga sikap rendah diri melahirkan perasaan terlalu kagum dengan pencapaian dan kelebihan orang lain lantas menjadikan masyarakat kita mengagumi bangsa lain dan membawa sindrom pasif kepada umat Melayu sehingga zaman kini. Atau mungkin juga keadaan persekitaran kira yang kurang mendukung usaha kita ke arah pembentukan insan yang berdaya tahan baik dari segi mental, intelektual mahupun spiritual.

Minda yang terjana adalah berkait rapat dengan sikap yang telah lama tersemai dalam diri seseorang individu.Terjananya minda yang negatif lahir daripada sikap yang sudah menjadi tabiat yang kurang elok dan juga buruk. Kelemahan umat Melayu sehinggakan berjaya dijajah adalah hasil daripada sikap yang negatif maka hasil daripada sikap tersebut maka mindanya juga berjaya dijajah. Sebagai contoh, pemimpin Melayu pada zaman penjajahan Portugis, Belanda dan Inggeris tidak bersatu, saling bergaduhan lantas timbullah bibit-bibit permusuhan dan akhirnya penjajah menggunakan taktik pecah-perintah. Maka berlakulah pemisahan kuasa antara pembesar menyebabkan pembesar tidak lagi bersatu untuk mentadbir tanah air sendiri. Agenda inilah yang menyebabkan negara kita berjaya dijajah beratus tahun lamanya. Hal sedemikian tercetus disebabkan sikap iri hati dan dengki antara satu sama lain atas kelebihan orang lain sehingga bagai merelakan bangsa lain maju, jangan bangsa sendiri. Sikap sebegini sedar atau tidak sebenarnya telah menjadi suatu adat yang berjaya diwarisi sehingga kini sekalipun zaman telah berganti dan negara tidak lagi dijajah. Pewarisan sikap negatif ini telah mengakibatkan bangsa Melayu kini sukar untuk berjaya apatah lagi untuk merealisasikan impian untuk mencapai Wawasan 2020. Maksud tersirat yang ingin disampaikan bukanlah untuk melemahkan atau menghina bangsa mulia ini tetapi haruslah menjadi suatu kesedaran bahawa umat Melayu kini agar segera menghapuskan sikap sebegini agar ianya bukanlah menjadi tembok besar untuk mencapai segala visi dan misi yang telah digarapkan.

Menjadi suatu penyakit juga dalam badan kebanyakkan umat Melayu sehinggakan boleh dikatakan hampir gagal untuk mencari imunisasi akan penyakit ini. Kebanyakkan bangsa Melayu enggan mempelajari kemajuan-kemajuan teknologi asing . Mereka leka dan berpuas hati dengan apa yang ada. Maka, akhirnya penjajah dengan mudahnya mengalahkan orang Melayu terutamanya dari sudut ekonomi dan pembangunan negara. Bukanlah hendak dikatakan bangsa Melayu kini mundur tetapi setelah mendapat satu sentakan yang hebat barulah segera bangkit daripada terlena panjang, bak kata pepatah ‘Sudah terhantuk, baru tengadah’. Namun begitu, harus sedarlah bahawa kebangkitan itu sebenarnya agak terlewat kerana kita kini bukanlah menjadi bangsa yang teratas dalam segala-galanya sekalipun di tanah air sendiri. Walau bagaimanapun, bukanlah menjadi suatu kesalahan apabila kita kembali bangkit menebus segala kejahilan yang pernah melanda umat Melayu silam lantas bangun untuk merealisasikan 1001 harapan yang di canang-canangkan.

Namun begitu, di sebalik sikap yang terlalu tertutup, terdapat juga segelintir bangsa Melayu yang terlalu mengagung-agungkan bangsa asing ataupun pihak penjajah terutamanya negara Barat sehingga melahirkan minda yang sentiasa mengiktiraf segala yang datang dari Barat semuanya berkualiti dan moden. Mindanya juga berjaya dijajah oleh fahaman kolonial termasuk dari segi pendidikan, keusahawanan dan sebagainya. Produk Melayu begini yang tidak pernah memberi sokongan serta semangat kepada bangsanya sendiri sehinggakan sanggup mengatakan bahawa bangsanya adalah mundur, tidak berkualiti dan terlalu konservatif.

Daripada kecelaruan yang berlaku ini, kita seharusnya bertanya, apakah kesilapan kita? Bagaimana kita harus perbaiki keadaan dan siapa yang harus berperanan? Apakah bentuk penyelesaian yang ingin kita utarakan? Apakah pelan tindakan yang harus kita sediakan? Apakah aspek-aspek yang boleh kita menfaatkan daripada khazanah ilmu yang sedia ada, baik daripada sumber Islam mahupun daripada sumber bukan Islam? Sekerap mana kita harus lakukan pemantauan dan penilaian semula pada pelan tindakan kita? Soalan-soalan tersebut dan banyak lagi tidak mungkin dapat dicari semalaman atau hanya dengan beberapa perjumpaan dalam seminar yang dianjurkan oleh pelbagai pihak. Apa yang jelas, kita perlu memulakan usaha perintis untuk menggabungkan tenaga pemikir Melayu daripada pelbagai sektor untuk duduk di bawah satu bumbung dan berbincang secara fokus mengenai satu aspek potensi umat Melayu, iaitu mindanya.

Dalam menempuh abad ke-21, kita harus sedar bahawa kita bertanggungjawab memperbetulkan tanggapan dunia mengenai minda Melayu. Kita harus mengheboh-hebohkan segala kejayaan dan sifat-sifat positif minda Melayu, ketekunan kerja orang, Melayu, semangat kerja berpasukan orang Melayu dan sebagainya.Minda Melayu yang harus kita cerna dan bentuk untuk abad akan datang ialah minda Melayu yang inquisitive, minda yang analatikal dan mempunyai kesedaran dalam subconscious mind bahawa umat Melayu, khasnya Melayu Muslim, boleh menjadi bangsa yang hebat, disegani, diteladani dan sebagainya.


Noor Hidayah binti Osman

Universiti Pendidikan Sultan Idris

TAJUK : BEBANAN SISTEM PENDIDIKAN DI MALAYSIA

Kederasan arus Globalisasi seiring kemajuan teknologi yang pesat hasil reformasi sistem sosial serta biasan teknologi dunia telah mencetuskan pelbagai evolusi dalam setiap bidang di Malaysia terutamanya dalam sistem pendidikan yang kian bertukar dasarnya agar seiring dengan kehendak dunia masa kini. Pendidikan kini pula digandingkan dengan peluang pekerjaan di mana kurikulum yang dibinanya berdasarkan 'Teori Kurikulum Fungsional' di mana pendidikan adalah untuk mengisi petak pekerjaan untuk masa hadapan. Bagi tujuan begitu, adalah perlu untuk membangunkan tenaga buruh yang mempunyai kelayakan akademik dan teknikal yang tinggi, kepelbagaian kemahiran dan pengetahuan menggunakan ICT serta nilai-nilai dan etika kerja yang positif. Justeru untuk memenuhi keperluan tersebut, pemerkasaan sistem pendidikan telah dirancang agar ketumbukan berkualiti yang mantap akan meningkatkan pengetahuan, kemahiran dan daya cipta supaya sepadan dengan kemajuan teknologi pengeluaran dan perkhidmatan.

Lantaran dasar pendidikan Malaysia yang sering berubah secara drastik secara tidak langsung sebenarnya telah meningkatkan kos atau perbelanjaan yang semakin meningkat disebabkan untuk merealisasikan pelaksanaan kurikulum tersebut. Sebagai contoh pengubahsuaian pembelajaran daripada bahasa melayu kepada bahasa Inggeris sebagai pengantar dimana kos yang dilabur untuk pemerkasaan bahasa Melayu melalui usaha Dewan Bahasa Dan Pustaka tidak sedikit dikeluarkan. Pengubahsuaian yang berlaku juga telah membawa implikasi kenaikan kos pelajaran di malaysia demi menampung kelompangan kos akibat ubahsuai, latihan dan pakej baru untuk setiap perubahan yang terlalu drastik dan tidak konsisten. Kesannya, sama ada sedar atau tidak telah memberi tekanan kepada rakyat Malaysia yang majoritinya terdiri daripada golongan sederhana yang terpaksa menanggung bebanan kesempitan kewangan lantaran kos perbelanjaan pendidikan yang kian meningkat tidak sepadan dengan taraf kehidupan mereka. Namun,secara hipotesisnya persoalan yang timbul dan ingin di ketengahkan oleh penulis bukanlah bidang kursus apa yang perlu dipilih atau tempat pengajian mana yang berkualiti agar dapat menjamin pekerjaan masa hadapan tetapi sejauh mana kualiti pendidikan di Malaysia sepadan dengan pengeluaran kos yang dikeluarkan oleh pelajar untuk pengajiannya.

Pembaharuan demi pembaharuan dalam sistem pendidikan yang dirancang serta dilaksanakan bukanlah menjadi suatu kesalahan mahupun kesilapan namun ianya sepatutnya dilaksanakan seiring purata taraf ekonomi rakyat di Malaysia.Ketinggian kos perbelanjaan yang terpaksa dikeluarkan oleh sekalian rakyat yang tidak berpendapatan tinggi telah membebankan kehidupan mereka walhal tidak sepadan dengan tahap pendidikan yang di ambilnya. Sistem pendidikan yang ada menyebabkan yuran terlalu tinggi dan boleh dikatakan 'ajaib'. Ada yuran pengajian, yuran perpustakaan, yuran kesihatan, yuran sukan, bayaran nota, yuran peperiksaan dan berbagai lagi. Masyarakat yang berpendapatan rendah (akibat diperah habis-habisan oleh sistem kapitalis) terpaksa menyerah diri dan menerima bahawa mereka tidak mampu memberikan pendidikan sempurna kepada anak mereka kerana tingginya perbelanjaan pendidikan pada hari ini. Memang sudah menjadi kelaziman sebuah negara kapitalis akan wujud dua golongan iaitu antara yang berkemampuan mendapatkan pendidikan dan ada yang akan tewas serta tidak mampu mendapatkan pendidikan akibat dari tingginya kos hidup, golongan miskin gagal untuk bersaing di pasaran. Maka, akan terwujudnya golongan yang mundur pendidikannya akibat dari kurikulm pendidikan moden yang dilaksanakan di sekolah-sekolah, institut-institut pengajian tinggi, dan lembaga-lembaga pendidikan yang ada di seluruh negara di dunia.

Rentetan daripada kos perbelajaan untuk belajar tinggi,timbul pula isu biasiswa dan pinjaman kewangan daripada badan-badan tertentu. Bagi menutup segala isu-isu yang timbul, satu langkah telah dilaksanakan dengan memberi pinjaman kewangan kepada pelajar yang tidak mampu untuk meneruskan pengajiannya. Diberi pinjaman yang tinggi, namun hakikatnya adalah untuk membayar bebanan yuran yang bermacam dan akhirnya pinjaman tersebut akan dibayar balik oleh ibu bapa pelajar tersebut ataupun dituntut semasa mereka bekerja kemudian hari. Bukanlah menjadi persoalan, mengapa perlu bayar yuran untuk belajar, tetapi persoalannya, mengapa yuran yang dikenakan terlalu tinggi sehinggakan membebani hidup-hidup insan yang sememangnya dhaif dan susah. Tidaklah menjadi suatu yang wajar sekiranya seorang insan yang ingin mencari ilmu terpaksa melupakan hasratnya hanya kerana tidak mampu unuk membayar atau menanggung yuran persekolahan atau pengajiannya yang begitu tinggi (tidak sesuai dengan pendidikan yang diambil). Sewajarnya biasiswa tidak perlu direbut jika sudah jelas yuran yang rendah dikenakan. Kini pertarungan dan persaingan mendapat biasiswa amat menjadi-jadi sehingga timbulnya budaya ampu-mengampu, rasuah serta lobi-melobi demi mendapat biasiswa yang sebenarnya kembali menjadi milik pengurusan pendidikan.

Ketidak adilan juga berlaku kepada golongan luar bandar yang membayar yuran yang sama dengan golongan di bandar sedangkan kualiti serta insfrastruktur yang diterima tidak sepadan sama sekali. Sebagai contoh, mata pelajaran ICT di perkenalkan di sekolah di Malaysia. Semua pelajar diwajibkan mengambil mata pelajaran tersebut sama ada bersekolah di bandar ataupun di luar bandar. Yuran yang dikenakan setiap tahun juga adalah sama untuk matapelajaran baru ini.Namun,infrastruktur atau kemudahan di sekolah tidak sama. Di luar bandar hanya belajar secara teori memandangkan sebuah komputer pun tidak dibekalkan atau terlalu sedikit komputer yang disediakan untuk digunakan kepada pelajar-pelajar berbanding di bandar yang mana setiap pelajar dibekalkan kemudahan di mana satu komputer seorang pelajar. Jadi, kualiti yang boleh kita bandingkan adalah terlalu ketara di mana sekolah di sini di ajar teori sahaja manakala satu sekolah lagi diajar teori dan dipraktikkan sekali ilmunya.

Persoalan yang timbul ini bukanlah mahu dijadikan `buah mulut’ yang bertujuan untuk diperkatakan tetapi sekadar mahukan kebijaksanaan serta penelitian yang terancang agar keadilan dan kebajikan rakyat di jadikan rujukan utama dalam pelaksanaan sistem pendidikan di Malaysia. Tidak perlu pinjaman kewangan yang tinggi, juga biasiswa yang banyak sekiranya kadar yuran serta kos perbelanjaan pengajian ditetapkan mengikut taraf ekonomi rakyat. Andai keutamaan ilmu pengetahuan untuk rakyat di utamakan, rasanya tiada masalah untuk pelajar mendapat kualiti pendidikan yang tinggi. Contohilah negara-negara yang maju di mana pendidikan untuk rakyat diutamakan sehinggakan membuka sekolah percuma kepada para pelajar yang tidak berkemampuan demi masa depan rakyat mereka.

`Kematapan Pendidikan Kualiti Terjamin’

Nor Hidayah bt Osman

Jurnalis Cahaya-01

KELAYAKAN PERIBADI GOLONGAN YANG TERLIBAT DI DALAM KEGIATAN SESEBUAH RANCANGAN HARAKAH ISLAMIYAH

Rujukan : Pra Syarat Kejayaan Islam

Pemahaman Islam secara menyeluruh

Kelayakan peribadi yang pertama ialah kefahaman Islam yang sebenar yakni menyeluruh. Ini bermaksud seseorang itu perlu mempunyai kefahaman dan ilmu pengetahuan yang mendalam mengenai Islam supaya mereka lebih jelas mengenai apakah yang bakal mereka perjuangkan dalam harakah ini. Dalam usaha untuk memperoleh pengetahuan ini juga ia bergantung kepada kebolehan diri seseorang dan perlu diingat tidak semestinya orang yang berjuang di jalan ini adalah pakar dalam ilmu Islam. Tetapi apa yang perlu adalah suatu kelayakan tertentu yang setidak-tidaknya membolehkan mereka untuk membezakan di antara ‘aqidah Islamiyah dengan ciri-ciri Jahiliyah dan juga di antara amalan-amalan Islam dengan yang bukan Islam. Ini amat penting supaya individu tersebut memahami kepentingan Islam sebagai panduan dalam seluruh aspek kehidupan dan juga dapat membantu keberkesanan dalam melakukan gerak kerja. Selain itu, kemantapan dari segi ilmu juga perlu bagi menangkis pandangan-pandangan dan hujah-hujah yang sengaja dilahirkan oleh golongan Orientalis dan juga musuh-musuh Islam bagi mengelirukan masyarakat khususnya yang beragama Islam supaya mereka tidak yakin dengan Islam itu sendiri

Memiliki keimanan yang teguh terhadap Islam

Di samping ilmu dan kefahaman, keimanan yang teguh terhadap Aqidah juga perlu kerana ianya merupakan asas bagi segala gerak kerja. Keyakinan yang teguh bukan sahaja membantu seseorang individu dalam setiap tindak-tanduknya malahan mengelakkan rasa was-was dan ragu-ragu kerana individu yang sedemikian amat besar kemungkinan tidak mampu untuk menjalankan tugas besar ini dengan sempurna. Tugas ini juga tidak layak kepada mereka yang mengalami kekusutan fikiran dan berbelah bahagi apatah lagi mereka yang mudah terpengaruh dengan pelbagai aliran pemikiran dan ideologi. Apa yang dimaksudkan dengan keimanan yang teguh adalah mempercayai akan kewujudan dan kekuasaan Allah s.w.t, percaya akan Yaumul Hisab (Hari Perhitungan) sebagaiman yang temaktub di dalm Al-Qur’an dan semestinya meyakini inilah jalan kebenaran yang ditunjukkan oleh Nabi Muhammad s.a.w serta menjadikan segala yang bertentangan dengan jalan ini sesuatu yang sia-sia dan yang tidak mendatangkan apa-apa faedah. Selain itu mereka juga perlu membuat penilaian terhadap sesuatu tindakan berlandaskan kepada Kitabullah iaitu Al-Qur’an dan juga Sunnah Rasulullah s.a.w sama ada tindakan itu benar atau pun bertentangan.

Watak keperibadian (Syakhsiyyah Fardiyyah)

Kelayakan seterusnya yang perlu ada ialah keperibadian kerana setiap tindakan seseorang mencerminkan apa yang dia pertuturkan. Dirinya akan istiqamah dalam melaksanakan sesuatu yang dianggap benar dan menjauhi segala yang difikirkan salah. Ini kerana segala tindak-tanduknya menggambarkan kefahaman yang ada padanya dan tidak memerlukan pengaruh atau tekanan dari luar dalam melakukan tindakan tersebut. Cukuplah baginya bahawa setiap ‘amalan itu perlu mendapat keredhaan dari Allah s.w.t sebagai hujah yang terbaik dalam melaksanakan sesuatu tindakan dengan penuh keazaman dan kekhusyukan. Syakhsiyyah fardhiyyah ini juga amat penting bukan sahaja dalam menjalani kehidupan seharian malahan sebagai satu kekuatan dalam menghadapi ancaman dan pengaruh pesekitaran yang sering merosakkan. Bagi yang tidak mempunyai mutu peribadi tidaklah bermakna tidak layak untuk melaksanakan pembaharuan, meskipun cuma ada sekelumit keimanan Islam tetapi bagi golongan sebegini tidak boleh dijadikan sebagai tenaga penggerak (muharrik) yang sebenarnya. Begitu juga dengan orang-orang yang tidak beriman dan merupakan seteru Islam adalah tidak menjadi satu kesalahan sekiranya ingin memberikan bantuan. Kelemahan dari golongan-golongan ini ialah mereka tidak mempu untuk mewujudkan peraturan Islam dan tidak berupaya untuk menyekat arus perkembangan Jahiliyah walaupun mereka dalam kuantiti yang ramai. Kesimpulannya, tugasan yang berat ini hanya mampu dilakukan oleh dijalankan oleh orang-orang yang lengkap dengan keimanan, bekalan ilmu dan peribadi yang utuh.

Menjadikan Islam sebagai matlamat hidup (al-ghayah)

Seterusnya ialah meletakkan perjuangan menegakkan Islam sebagai matlamat (tujuan) hidup mereka dan bukannya sekadar satu cita-cita sahaja. Ada manusia yang mempunyai ilmu Islam, mereka meyakini ilmu itu dan mengamalkannya tetapi malangnya matlamat hidup mereka bukanlah untuk menegakkan peraturan Islam itu sendiri malah tidak berusaha untuk mencapainya. Golongan yang paling layak untuk melakukan tajdid (pembaharuan) ini adalah mereka yang meletakkan perjuangan untuk menggantikan peraturan yang dikuasai oleh Jahiliyah sebagai matlamat hidup meskipun mereka terlibat di dalam kegiatan-kegiatan lain. Dalam melaksanakan tugasan ini, mereka perlu bersedia untuk mengorbankan masa, harta, jasad dan begitu juga dengan jiwa mereka dan bersedia untuk menyumbangkan akal fikiran mereka untuk mencapai matlamat ini. Selain itu juga mereka tidak teragak-agak sekiranya nyawa mereka menjadi taruhan andainya perjuangan ini memerlukan pengorbanan sedemikian. Dengan adanya golongan sebeginilah yang mampu untuk berhadapan dengan Jahiliyah dan menyediakan tapak untuk menegakkan kembali peraturan Islam di atas muka bumi ini.

Kesimpulannya, kelayakan-kelayakan asas seperti inilah yang patut ada di dalam setiap diri individu yang ingin memperjuangkan kesucian dan menegakkan peraturan Islam serta perlu diingat tanpa kelayakan seperti inilah yang akan menjadikan perjuangan itu suatu yang sia-sia.

Anie Noraini Ab Rahim

PERANAN HARAKAH ISLAMIYYAH

Secara umumnya kita memahami harakah islamiyyah sebagai satu gerakan tajdid yang membawa gelombang Islam ke dalam masyarakat. Tetapi mungkin kita lagi masih kabur untuk memahami dengan sejelas-jelasnya akan peranan harakah islamiyyah kepada dunia Islam seluruhnya pada masa kini.

Harakah Islamiyyah menurut Fathi Yakan adalah berperanan membawa manusia kembali mengabdikan diri kepada Allah sama ada secara individu ataupun secara berjemaah, supaya masyarakat seluruhnya akan kembali meletakkan al-Quran dan as-sunnah sebagai sumber rujukan dalam segenap lapangan kehidupan. Ajakan kepada pengabdian kepada Allah secara mutlak ke dalam masyarakat ini menuntut satu gerak kerja yang teratur, berstruktur dan berstrategi untuk menjayakannya.

Harakah Islamiyyah adalah satu tanzim ‘alami yang menggabungkan petugas dakwah dari seluruh dunia untuk mencapai matlamat yang satu, yang dapat dicapai dengan menggunakan uslub penyampaian dakwah Islam yang suci dan murni. Kita melihat pada hari ini serangan terhadap Islam dilancarkan dari segenap segi, terarah kepada setiap generasi umat Islam kini. Keperluan harakah islamiyyah adalah untuk menggabungkan petugas dakwah ini bersesuaian dengan keadaan semasa yang memerlukan mereka berintima’ dengan jemaah, mentanzimkan mereka dan meyakinkan mereka akan keperluan berintima’. Seterusnya, harakah Islamiyyah perlu men‘centralizaed’kan segala perancangan agar peranan harakah menjadi jelas dan gerak kerja dapat dilakukan dengan sempurna.

Serangan yang dilancarkan kepada umat Islam tidak sahaja datang daripada penjajahan pemikiran ciptaan golongan kuffar tetapi juga apabila umat Islam terperangkap dalam permasalahan bid’ah dan khurafat yang begitu berleluasa pada hari ini. Harakah Islamiyyah berperanan untuk mengembalikan keyakinan masyarakat kepada aqidah yang sebenarnya, dalam erti kata lain membanteras segala bentuk penyelewengan yang telah dilakukan terhadap islam dan hukumnya sejak dulu hinga sekarang.. Dengan itu juga bermakna, hukum-hukum Islam yang bersifat sempurna dan menyeluruh diyakini akan dapat membantu untuk mencapai matlamat ini seterusnya membantu masyarakat dalam setiap urusan kehidupan.

Menyorot pada sejarah manusia terdahulu, kaedah asas kepada tertegaknya Islam dalam masyarakat adalah kaedah “Lailaha illallah” (Tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah). Harakah islamiyyah meyakini bahawa kaedah ini adalah kaedah yang meletakkan tauhid uluhiyyah (ketundukan dan kepatuhan) dan tauhid hakimiyah (kehakiman dan perundangan) hanya kepada Allah azza wa jalla. Daripada ini, harakah Islamiyyah juga meyakini Islam adalah kekuatan asasi yang akan mengembalikan manusia pada landasan kehidupan yang sebenarnya, yang membawa kekuatan, kemajuan dan kejayaan, menewaskan propaganda taghut serta menyinari alam semesta ini hanya dengan kalimah Allah semata-mata.

Jika dipandang dari sudut yang berbeza, pengembalian manusia pada jalan fitrah juga bermakna harakah islam menolak segala bentuk ideologi dangkal ciptaan manusia. Ketundukan kepada ideologi mungkar merupakan satu bentuk pengingkaran kepada keesaan Allah Ta’ala, kekufuran terhadap Islam yang agung dan menjadi perbuatan yang bodoh kerana membiarkan diri sendiri kehilangan arah sedangkan petunjuk Allah ada didepan mata.

As-syahid Imam Hasan al-Banna dalam menyimpulkan perkara ini menyatakan bahawa peranan-peranan harakah Islamiyyah adalah bersandarkan kepada keyakinan-keyakinan yang telah disebutkan sebelum ini. Kesemua peranan perlu dilaksanakan secara berterusan dan tidak terhad kepada tempat atau golongan tertentu sahaja supaya cahaya Islam itu sahajalah yang akan menerangi kehidupan manusia. Maka tidak akan ada lagi bentuk penyelewengan terhadap Islam dan agama itu menjadi semata-mata hanya untuk Allah.

Siti Norhani Hidayah Ismail

;;